01 April, 2012

Antara Pongahnya Najib, Yakinnya Noh di Selangor


Salam. Dengan pongahnya, Najib mengumumkan di Bera, bahawa pada Mei depan yang disifatkannya sebagai "durian runtuh" kepada para peneroka bersempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu disifatkan beliau bakal membuatkan para peneroka "tersandar, rebah dalam kejutan".

"Banyak mana? Saya tak akan umumkan hari ini. Banyak mana? tunggu, kita akan buat pengumuman nanti," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka Gugusan Bera di Felda Triang 3, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 peneroka itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang pada Mei depan.

Najib begitu yakin bahawa penerusan rancangan penyenaraian FGVH pada Jun 2012 ini akan diterima oleh sebahagian peneroka Felda, dengan janji "durian runtuh" yang besar, di tengah-tengah asakan sebahagian NGO Felda yang menentang penyenaraian malahan telah pun mendapat injuksi mahkamah tentang mesyuarat agung KPF.

Najib barangkali menyangka penentangan sebahagian peneroka terhadap kesan buruk penyenaraian ini hanyalah mainan pembangkang atau Pakatan Rakyat atas dasar memperoleh faedah politik. Najib mungkin berasakan penentangan ini cuma penentangan picisan. Mungkin juga Najib berasakan bahawa masyarakat peneroka akhirnya akan tetap bersama UBN apabila mendapat habuan besar sebaik penyenaraian berlaku.

Mungkin, pada saya, Najib akan tetap meneruskan penyenaraian atas sebab dana pilihan raya, atau Najib yakin bahawa walaupun penentangan ini benar-benar berasaskan realiti akar umbi Felda, UBN akan tetap dapat mengekalkan Putrajaya pada PRU13. kelihatannya hampir pasti PRU13 akan berlangsung pada Jun 2012 nanti.

Mengapa saya mengandaikan begitu? Cuba telitikan kenyataan Noh Omar tentang keyakinannya, UBN akan memperoleh 36 kerusi DUN daripada 56 kerusi.

Mengapakah Noh begitu yakin? Adakah ini hanya berupa gimik atau "psyche war" atau untuk menyemarakkan semangat UBN Selangor agar terus bekerja untuk mengembalikan sokongan pengundi Selangor menyokong UBN?

Sinergi antara kepongahan Najib untuk terus menyenaraikan FGVH, dan kenyataan Noh yang yakin itu membawa suatu pertanyaan, adakah UBN telah benar-benar bersedia memasuki zon perang PRU13 pada Jun nanti?

Melihat keyakinan Najib ini, walaupun Daim Si Tukang Tilik, dan Mentor Najib, Mahathir meramalkan tidak mudah untuk UBN menang dengan selesa jika berlaku PRU13 nanti. Malahan Mahathir menggerhanakan lagi momentum Najib ke arah membubarkan Parlimen, dengan kenyataannya yang UMNO begitu kurang golongan profesional dan intelek sebagai penggerak/ pendokong UMNO.

Ini menjurus kepada suatu fakta yang sukar dihujahkan bahawa SPR telah selesai menyusun atur pengundi-pengundi dalam daftar  pemilih yang akan diguna pakai pada PRU13 nanti.

Dan, hampir pasti UBN akan mengekalkan Putrajaya pada PRU13 nanti kecuali suatu tindakan drastik dan bersepadu dilakukan oleh PR dalam mendesak SPR "membersihkan" daftar pemilih.

No comments:

Post a Comment