Salam. Dalam konteks PTPTN ini, PKR dan PR sedang merangka pemansuhan PTPTN dalam rangka pendidikan percuma untuk rakyat sehingga ke universiti. Saya menjangkakan isu PTPT dan pendidikan percuma akan menjadi konsensus PR dalam manifesto PR pada PRU13 nanti. UBN mula meniup isu bahawa tiada kesepakatan dalam PR tentang isu ini. Kita mengharapkan Pas dan Dap bertindak bijak dalam hal ini.
Pada hemat saya, ada beberapa isu atau persoalan berhubung dengan isu ptptn dengan pendidikan percuma yang cuba diperjuangkan oleh PR.
Pertama, isu ini amat dekat dengan isu generasi muda dan mahasiswa. Apabila isu ini dijuarai oleh PR, dengan mudah dapat memancing kebangkitan generasi muda dan mahasiswa, yang rata-ratanya datang daripada keluarga golongan menengah dan berpendapatan rendah baik berasal dari kota dan desa.
Rakyat terbanyak rasanya memahami dan menerima akan komitmen PR dalam usaha pemansuhan PTPTN dalam rangka pelaksanaan pendidikan percuma kepada rakyat. Ini sebenarnya selaras dengan Buku Jingga dan penerusan visi PR iaitu ketuanan rakyat. Rafizi sendiri telah pun sanggup berdebat dengan Khairy tentang isu ini malahan telah pun merumuskan beberapa prinsip dan dasar asas dalam usaha PR merealisasikan pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.
Kedua, sejauh mana keikhlasan PR dalam memperjuangkan isu ini, adakah semata-mata ingin memancing undi generasi muda dan mahasiswa dalam PRU13 ini? Persoalan ini cuba dieksploit oleh UBN.
Ketiga, isu pemansuhan PTPTN ini dianggap oleh UBN sebagai momokan dan satu usaha pemancingan undi. Hujah asas mereka ialah hanya beberapa negara di dunia ini yang menjalankan dasar pendidikan percuma, itupun dimungkinkan oleh faktor cukai yang tinggi. Hujah UBN, jika PTPTN dimansuhkan, negara akan bankrup.
Tentang hujah UBN bahawa isu PTPTN dan pendidikan percuma ini hanya satu momokan dan hanya semata-mata usaha pemancingan undi oleh PR, maka dikaitkan dengan Anwar Ibrahim.
Sekurang-kurangnya terdapat dua kenyataan pihak UBN bahawa Anwar juga terlibat dalam usaha mewujudkan PTPTN pada tahun 1997. Pertama, dinyatakan oleh Mahathir, dan keduanya oleh Timbalan KPT iaitu Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika ini Anwar ialah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Saifuddin mengaitkan pewujudan PTPTN selari dengan cadangan Prof Ungku Aziz (1973) supaya diwujudkan Tabung Siswa. Hemat saya cadangan Ungku Aziz ini lebih dalam konteks biasiswa, dan tentunya lebih berorientasikan kebajikan dan tidak membebankan mahasiswa dan keluarganya.
Kenyataan Saifuddin agak luar biasa dan menyimpang daripada stail politiknya. Cuba teliti, kenyataan Saifuddin ini, “Namun pada 1997, kerajaan bersetuju menubuhkan PTPTN dan pembayaran kali pertama dikendalikan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, kerajaan terkilan dengan tindakan ketua pembangkang yang berusaha untuk memansuhkannya disebabkan beliau tidak lagi dipilih sebagai pemimpin kerajaan.
“Tindakan bermuka-muka sebegini boleh menyebabkan masyarakat jelak dengan politik kotor diamalkan beliau semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai,”
Saifuddin menuduh Anwar bermuka-muka, tidak jujur aka tidak ikhlas dalam usaha Anwar mereformasi PTPTN dan mengusahakan pendidikan percuma kepada rakyat sekiranya PR menguasai Putrajaya.
Satu hakikat ketika itu merupakan tahun-tahun kritikal dalam hubungan Anwar dengan Mahathir. Tahun 1998 Anwar diheret ke penjara. Tentunya, ketika ini pandangan-pandangan Anwar dalam polisi kerajaan tidak lagi dipedulikan oleh Mahathir.
PTPTN ini diusulkan oleh Najib yang ketika ini ialah Menteri Pelajaran. Ketika ini juga Najib membentangkan Akta Pelajaran yang baru yang membolehkan penubuhan IPTS dan penggunaan BI sebagai bahasa pengantar di IPTA dan IPTS.
Ketika ini juga kita boleh lihat bercambahnya IPTS seiring dengan dasar meluaskan peluang pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat. Jadi, IPTS memerlukan dana untuk operasinya, maka perlu disediakan dana yang besar untuk menampungnya. PTPTN ialah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan dana untuk IPTA dan IPTS sekali gus melanggar perlembagaan iaitu pelajar bumiputra perlu diberi biasiswa dalam konteks hak istimewa orang Melayu dan bumiputra.
Tentunya ketika itu, Anwar berharap pelaksanaan PTPTN tidak seperti hari yang membebankan mahasiswa, dan Anwar sebenarnya tidak sempat memantaunya kerana tahun 1998 beliau dihumban ke penjara.
Kita sebenarnya tidak tahu dengan pasti apa pandangan dan harapan Anwar terhadap PTPTN pada waktu mula-mula diwujudkan. Tentunya Anwar ada falsafah dan prinsipnya sendiri.
Maka untuk menghapuskan kekeliruan ini dan menjawab dakwaan Mahathir dan Saifuddin bahawa Anwar bermuka-muka aka tidak jujur dalam isu PTPTN ini, wajarlah Anwar memberi penjelasan dalam ceramah-ceramahnya tentang prinsip dan falsafahnya mengenai PTPTN.
No comments:
Post a Comment