29 April, 2012

Anwar Fobiaisme 1: Hishamuddin Conteng Arang


Salam. Saya akan memulakan siri yang saya namakan sebagai Anwar Fobiaisme. Saya tidak pasti akhirnya siri ini namun niat di hati saya ialah sekurang-kurangnya sampai PRU13 nanti. Sentral serangan terhadap PR ialah Anwar. Pada sisi pemikiran penstrategis UBN ialah runtuhnya Anwar, maka pergabungan Pas, Dap, dan PKR akan berkecai.

Persoalan yang begitu kabur jawapannya ialah mengapa dan kenapa Hishamuddin mengulangi cara dan taktik KDN dalam melayani Bersih 2 terhadap Bersih 3. Apa sebenarnya yang ada di dalam kotak pemikiran pemikir-pemikir KDN dengan organnya PDRM (Cawangan Khas (SB), FRU, Anggota Beruniform)?

Apakah Hishamuddin tidak dapat menjangka bahawa dalam zaman ledakan teknologi IT, pihak KDN amat sukar membuktikan tahap profesionalisme dalam mengikuti SOP Polis dalam menyurai perhimpunan? Adakah provokasi-provakasi yang dibuat dalam dapat disembunyikan?

Kini pun telah terserlah siapa yang benar dan situasi sebenar dalam insiden "terbalikkan kereta polis". Begitu juga tentang siapa yang memulakan memecahkan benteng hadangan yang mengelilingi dataran merdeka sebaik sahaja Anwar memulakan ucapannya?

Insiden peserta Bersih disuraikan dengan ganas dan dipukul malahan bukan sahaja melibatkan pemimpin PR malahan melibatkan para peguam pemerhati dan wartawan media alternatif. Adakah insiden-insiden ini boleh mewajarkan tindakan polis?

Adakah dengan tindakan Hishamuddin ini, Bersih 3 gagal? Ambiga mengisytiharkan berjaya dengan anggaran kehadiran secara keseluruhannya 300,000 peserta.

Sebaik sahaja Hishamuddin meletakkan tugas kepada Datuk Bandar KL untuk tidak membenarkan dataran merdeka digunakan sebagai venue baik atas apa alasan pun, Hishamuddin telah meletakkan DBKL dan Ketua Polis KL berada dalam tahap tekanan psikologi tertinggi. Hal ini kerana penganjur Bersih tetap menyasarkan dataran merdeka sebagai venue mereka.

Kita boleh bayangkan tahap "fear" dan "gementar" di pihak penguatkuasa DBKL, Polis, dan FRU untuk menghadapi rempuhan jangkaan puluhan ribu peserta bersih. Mereka adalah manusia biasa yang terpaksa melunaskan tanggungjawab dan arahan. Mereka sebenarnya sedang mempertaruhkan nyawa. Berbeza dengan peserta Bersih, tahap kesediaan mereka untuk menerima risiko adalah tertinggi. Peserta bersih didorong oleh harapan dan cita-cita. Mereka bertekad mencipta sejarah.

Maka dalam keadaan yang bertentangan ini, sedikit insiden yang terhasil daripada provokasi mudah membakar dan marak. Maka terjadilah "keganasan".

Siapakah yang harus memikul tanggungjawab ini? Ambiga? PR? Anwar? atau Hishamuddin? Siapakah sebenarnya yang menanggung aib dan akibatnya?

Inilah yang saya maksudkan kerana fobia akan Anwar dan gabungannya telah memesongkan akal jernih dalam tindakan yang akhirnya imej Najib yang telah sedia tercalar kian tercalar dan hitam, bukan sahaja pada khalayak rakyat tempatan malahan di pentas antarabangsa.

Wajarkah PRU13 berlangsung dalam waktu terdekat ini? Adakah Najib berani menanggung musibahnya? Dapatkah Hishamuddin dan IGP tidur lena mulai sekarang.

No comments:

Post a Comment