12 March, 2012

Never worry about anyone knowing what videos you watch on your daily commute. Get #UDevon's privacy screen protector.

Never worry about anyone knowing what videos you watch on your daily commute. Get #UDevon's privacy screen protector.

Najib Dapat Ilham, PR Tertekan


Salam. Hampir pasti ilham telah turun. Segala bomoh dan penasihat sekelilingnya telah mengisyaratkan, PRU13 telah boleh Najib tentukan.

Dua isu besar telah dimuktamadkan: pemansuhan SBPA dan isu Fidlot. Najib telah dapat melangkah ke parlimen dengan senyum lebar. Yang tinggal isu Lynas, itupun akan diselesaikan pada April ini apabila Najib berinisiatif penerangan besar-besaran tentang isu ini. Begitu isu penggabungan MAS-Air Asia, Najib meminta untuk disemak semula.

Nampaknya Najib mula yakin, Merdeka Centre telah mengesahkan yang rating Najib telah meningkat sokongan orang India dan Melayu terutama berpedapatan RM1500 berfaktorkan pemberian BR1M RM500.

Pandangan Daim, dianggap peramal PRU, yang seolah-olah mengisyaratkan UBN akan menang besar dalam PRU13. Isu-isu sampingan yang turut menyelesakan penasihat Najib ialah isu Hassan Ali dengan JATI-nya, kemelut Pas Kedah, Anwar dengan isu Israel.

PR Tertekan?

Walaupun kini kerajaan Selangor di bawah Khalid tertekan hebat, terkini isu tender terus yang dibongkarkan oleh RPK dan Noh Omar dengan skandal pasir, namun TS Khalid akan mendedahkan secara terperinci tender terus tersebut, dan telah pun mengarahkan Selcat bersidang tentang isu skandal pasir.

Sesungguhnya, Najib hanya bermiat dengar mendengar berita-berita gembira sahaja, dan cuba menyelesaikan semua masalah rakyat dengan duit.

Mungkin Najib dapat mempesona sebahagian kaum India dan sebahagian orang Melayu di desa-desa, tetapi apa dan bagaimana pandangan dan sikap pengundi atas pagar, generasi muda, dan golongan menengah semua kaum. Apakah Najib mampu mengaburi dan bermain silap mata dengan mereka.

Apakah mereka buta dan tidak dapat menangkap erti sebenar transformasi yang dibaggakan Najib? Transformasi ekonomi Najib, apa sebenarnya? Transformasi ini tidak lain, perkahwinan antara elitis ekonomi dengan elitis politik. Perkahwinan ini lebih bermotif mengaut keuntungan sebanyak mungkin. Tercapaikah impian Najib untuk melonjakkan ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, sedang kos hidup meningkat menggila dan rakyat semakin banyak di bawah paras kemiskinan.

Gagasan 1Malaysianya, adakah tulen? Jika tulen, kenapa Najib seolah merestui Perkasa, dan timbalannya berprinsip "Melayu dahulu, Malaysia kemudian"?

Pada permukaannya, PR dilihat tertekan, dan jika Najib dan penasihatnya yakin PR tertekan, maka PR dilihat masih berpeluang untuk bertindak balas, asalkan fokus PR pada manifesto dan Buku Jingganya tidak tersasar, dan mengurangkan politiking.

09 March, 2012

Pas Kedah Mula Diserang Berhubung Jawatankuasa Pemandu

Salam. Ekoran kejayaan Misi damai Pas Pusat merungkai kemelut protes dua exco Pas Kedah enggan menerima pelantikan exco semula, Pas Kedah yang menerajui kerajaan pakatan Kedah, mulai diserang media arus perdana, khususnya utusan.

Nampak perubahan media pencacai ini terhadap kerajaan negeri Kedah. Sebelum krisis ii tercetus, media perdana agak mesra malah tiada kritikan terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Kini, mereka mula menyerang. Fokus mereka ialah cuba mempertahan MB Kedah, dengan memanipulasi Jawatankuasa Pemandu (JKP) sebagai "Badan Advisery" terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan Kedah. Mahyudin menyifatkan JKP ini sebagai bukti jelas bahawa Pas Pusat tidak yakin dengan Ustaz Azizan sebgai ketua eksekutif Kedah.

Phahrolrazi dan Dr Ismail cuba diprojeksi sebagai pihak yang gila kuasa dan seolah-olah ingin menguasai kerusi MB Kedah. Kedua-dua pemimpin Pas ini dikatakan Utusan akan menuntut jawatan exco kanan, dengan memetik sumber dalaman. Inilah cara pemberitaan utusan.

Itu sekadar beberapa contoh.

JKP juga diserang keras oleh MCA dan UMNO, dan terdapat ulasan yang menggambarkan bahawa JKP ini satu usaha Pas Pusat mengambil alih kuasa eksekutif MB Kedah, dan cuba menimbulkan kekeruhan hubungan antara Sultan Kedah dengan kerajaan negeri.

Posting kali ini saya juga cuba menyorot satu analisis oleh Muhamad Mat Yakim (MMY) dalam Sinaronline, 7 Mac 2012. Terdapat 3 point yang ditekankan oleh MMY:

a)   ‘Penyelesaian’ itu ialah dengan ‘mengurangkan’ kuasa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan menubuhkan Jawatan­kuasa Pemandu di peringkat Pusat untuk memantau pentadbiran Kerajaan Negeri, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran Kedah sebelum ini.

b)  "Apakah Pas sudah terlebih dahulu mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebelum mengisytiharkan perkara itu kepada umum?"

c)   Sememangnya, mengurangkan kuasa Menteri Besar sebagai ketua eksekutif Kerajaan Negeri - di mana-mana negeri pun - boleh dianggap suatu bentuk pencabulan kuasa walaupun diberi panggilan terhormat, Jawatankuasa Pemandu. Ini kerana di sebuah negeri yang beraja, yang meskipun kerajaan dipilih melalui sistem demokrasi, kuasa memerintah masih bukan secara mutlak berada dalam tangan parti yang memenangi pilihan raya.
Soalnya, perlukah perkenan Tuanku Sultan Kedah dalam pembentukan JKP ini? Hemat saya, pembentukan JKP ini adalah satu usaha untuk memperkemas soal dasar kerajaan negeri supaya seiring dengan dasar parti dan dasar umum PR. PR tidak menguasai Putrajaya, jadi memerlukan satu mekanisma untuk "menasihati" ketajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR agar berada atas landasannya. Umum perlu jelas, JKP tiada kuasa undang-undang untuk memaksa kerajaan negeri tunduk pada JKP. Kerajaan negeri bebas untuk menolak atau menerima.

Hal ini telah pun dijelaskan berkali-kali oleh SUA Pas pusat dan naib-naib presidenya. Kini yang perlu SEGERA diambil tindakan ialah turun ke akar umbi untuk memberi penjelasan atau sesi dialog bagi setiap DUN.

Pada saya, jika JKP ini bertujuan untuk mengharmonikan perjalanan dan hala tuju kerajaan negeri, saya pasti Tuanku Sultan Kedah yang begitu prihatin dengan pentadbiran negeri akan turut menyokongnya. Hal ini kerana jika pentadbiran negeri terrencat kerana pergolakan dalaman, tentulah kerajaan itu tidak stabil dan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat terbanyak. Jadi, tidak timbul konflik dengan pihak istana.

Namun begitu, saya merasakan, untuk mengharmoniskan hubungan antara kerajaan negeri dengan Tuanku Sultan Kedah dalam isu JKP ini, adalah lebih baik dan sopan, Presiden Pas mengadap Tuanku Sultan untuk menjelaskan situasi dan rasional pembentukan JKP dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri.

Apakah penyelerasan ini tidak berlaku dalam pentadbiran UBN? Peringkat Persekutuan, bukankah ada mesyuarat bersama PM dan MB seluruh negara? PM, DS Najib bukankah baru sahaja melaksanakan meseyuarat tersebut, tetapi menodai semangat Persekutuan dengan tidak menjemput MB-MB pakatan.

Dengan begitu MMY seolah-olah ghairah untuk mempertikai JKP tetapi lupa untuk melihat amalan yang selama ini dilaksanakan oleh Persekutuaan.

Kesimpulannya, kaedah atau mantik yang selalu kita gunakan dalam soal reaksi media pencacai ini ialah sekiranya sesebuah kerajaan negeri PR atau invidu pembangkang, apabila diserang hebat maknanya kerajaan negeri atau individu itu berada dalam landasan yang betul.

06 March, 2012

Terlerai Kemelut Pas Kedah: Tahniah Salahuddin, Pengajaran Terhadap Pas Pusat

Salam. Alhamdulillah, akhirnya kemelut dan krisis Pas Kedah khususnya yang membelenggu Ustaz Azizan sebagai MB Kedah dengan TPJ1 dan TPJ2 terlerai sudah.

Phahrolrazi dan Dr Ismail akur dengan formula penyelesaian Pas Pusat yang bersidang lebih 5 jam untuk merungkai kekusutan yang kritikal.

Dlihat daripada formula peyelesaian oleh Pas Pusat iaitu Ustaz Azizan kekal sebagai MB dan PSJ Kedah, Phahrolrazi dan Dr Ismail di arah menerima semula jawatan exco yang ditolak mereka, dan ketiganya, Pas Pusat bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau dan memberi nasihat atas perjalanan kerajaan negeri sekiranya wujud sesuatu isu.

Mengikut sidang media oleh Pas Kuala Kedah yang dipimpin oleh Phahrolrazi, dan dihadiri oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Dr Ismail dan Yb Nasir, keakuran beliau dan Dr Ismail untuk menerima semula jawatan exco sekiranya diperkenan oleh Sultan Kedah adalah berasaskan persetujuan Pas Pusat membentuk Jawatankuasa Pemandu.

Peranan Salahuddin

Tahniah sewajarnya diberikan kepada Salahuddin. Kesabaran dan keprofesionalan beliau serta hemahnya, dua pihak ini dapat bersemuka dan berhujah secara fakta. Pemahamannya yang jelas terhadap isu-isu yang berbangkit membolehkan beliau dapat merumuskan dengan tepat dan melaporkannya kepada Jawatankuasa Pas Pusat. Dan, terhasillah formula yang tepat yang diterima oleh semua pihak yang berkonflik.

Kegagalan Perhubungan Negeri, dewan Pemuda Pas Negeri dan Pas Pusat

Mengikut Phahrulrazi dalam sidang medianya, isu-isu yang dibangkitkan ialah isu-isu yang telah lama. Isu-isu ini begitu kritikal sehingga menjejaskan moral jentera parti akar umbi dan pemimpin pertengahan.Moral jentera yang menjadi tunjang kekuatan parti telah merudum sehingga memungkinkan menjejaskan peluang untuk mempertahan kerajaan dalam PRU13.

Yang boleh dipersoalkanmengapa isu-isu yang sebegitu kritikal dibiarkan berlarutan dan tidak dislelesaikan pada peringkat awal lagi. Di mana letaknya fungsi dan wibawa Perhubungan Negeri? Sepatutnya Perhubungan Negeri berfungsi sebagai badan kawal selia perjalanan kerajaan negeri, khususnya MB yang juga PSJ. Begitu juga, jika didapati Perhubungan dilihat lemah, apa pula tindakan yang seharusnya diambil oleh Dewan Pemuda Pas Kedah. Nampak seolah-seolah dua badan ini dikawal kukuh oleh PSJ yang juga MB.

Imi memperlihatkan bahawa kepekaan yang rendah dalam proses penanganan masalah yang timbul dan memandang remeh setiap teguran dan ketidakpuashatian pemimpin pertengahan, akar umbi, hatta oleh exco sendiri. Ketaatan memang dituntut tetapi harus kena dengan tempatnya.

Kemelut ini menjadi begitu kritikal setelah ketiga-tiga badan tidak berfungsi lagi, dan yang paling malang ialah isu-isu ini telah pun diangkat ke pengetahuan Pas Pusat.Adakah Pas Pusat telah ambil maklum dengan serius dan mengambil tindakan yang bersesuaian? Jika Pas Pusat telah bertindak sejak awal, hemat saya, PSJ1 dan PSJ2, sekali-kali tidak mengambil tindakan yang boleh mematikan karier politik mereka. Ini memperlihatkan elemen personal dan hubungan individu telah mempengaruhi dalam membuat sesuatu tindakan sehingga mampu mencetus sesuatu krisis.

Kemelut yang kritikal ini dan menyesakkan nafas Pas pusat perlulah diambil iktibar betapa pentingnya sesuatu krisis itu diselesaikan pada peringkat awal tanpa memilih bulu.

Jawatankuasa Pemandu dan Ke mana Pas Kedah Selepas Ini?

Walau apapun kritikan, pro atau kontra, kemelut ini harus dinilai secara objektif tanpa elemen prasangka. MB ada rasionalnya kenapa hala tuju itu diambilnya. Begitu juga Kem Phahrolrazi, ada asas dan kewajarannya.

Yang menjadi timbang taranya ialah adakah Kerajaan Pas Kedah dapat dipertahan dalam PRU13 nanti. Pada hemat saya, kem Phahrolrazi melihat isu ini dalam konteks masa depan Kerajaan PR Kedah.

Kita boleh bertanya secara jujurnya, adakah kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Ustaz Azizan benar-benar selari dan mengikut acuan kerajaan Pakatan Rakyat. Adakah exco PKR dan exco DAP benar-benar terlibat dalam perjalanan dan pentadbiran Kerajaan Negeri. Untuk bahan rujukan sila ke sini.
Isu KUIN dan Buku Jingga boleh menjadi petanda terhadap sikap dan penerimaan MB pada kerangka dan dasar Pakatan Rakyat - mendaulatkan "Ketuanan Rakyat" dan "Keadilan", dan bagi pihak Pas, menawarkan "Negara Berkebajikan".

Jawatankuasa Pemandu inilah yang menjadi sandaran untuk membawa semula haluan dan dasar kerajaan negeri. Walaupun menurut SUA, jawatankuasa ini lebih bersifat "advisery" dan tiada kuatkuasa undang-undang, namun jawatankuasa ini boleh menjadi forum dan nasihat sekiranya timbul isu-isu berbangkit terhadap keputusan exco dan MB.

Pada hemat saya, terhasilnya formula penyelesaian ini, jentera akar umbi, pemimpin pertengahan akan bangkit semula dalam mempertahan kerajaan negeri Kedah di bawah penguasaan PR. Isu agihan kontrak, pengaruh umno dalam kerajaan negeri akan dapat ditangani dengan baik. Barisan exco dapat dipersatukan kembali (Pas, Pkr, Dap).

Dengan mengambil kira UMNO Kedah masih berpecah kepada fraksi-fraksi tertentu, dan biasanya, persaingan antara fraksi ini seperti permainan kalah mati, rakyat Kedah secara umumnya tidak dikejutkan dengan isu-isu besar melanda kerajaan negeri, kerajaan negeri masih berpeluang untuk dipertahan sekiranya bantuan dan peruntukan kepada rakyat dimaksimumkan serta segerakan program dan projek untuk rakyat seperti perumahan rakyat termiskin atau mampu milik serta selesaikan permasalahan yang berlonggok di PBT masing-masing.

Akhirnya, penyelesaian dan terlerainya kemelut ini, sebenarnya, satu kemenangan moral bukan hanya bercorak individu tetapi kemenangan kepada rakyat yang selama ini mendambakan sebuah kerajaan yang "berkebajikan" yang bebas daripada unsur-unsur kebobrokan UMNO.




02 March, 2012

Menanti Melerai Kekusutan Pas Kedah

Salam. Phahrolrazi, merangkap exco dan TPJ1 dan Dr Ismail Salleh yang juga exco dan TPJ2 Pas Kedah telah berjaya menyampai mesej kepada Pas Pusat. Mesejnya jelas ada berlaku sesuatu yang tidak kena dalam kerajaan negeri dan parti.

Mengambil kira sebelum ini permasalahan yang sama telah pun dimaklumkan dan kelihatannya tiada jalan keluar yang tuntas maka pada hemat saya, Phahrolrazi dan Dr Ismail sanggup menempuh risiko cukup tinggi terhadap kedudukannya dalam kerajaan dan parti. Ini termasuk persepsi akar umbi dan masyarakat umum. Sekarang pun telah berlegar di arus bawah dan komuniti media baru bahawa kedua-duanya adalah proksi Anwarinas baik dalam Pas dan Pkr. Dalam Pas geng Anwarinas digelar parasit (istilah Hassan Ali).

Hemat saya, jalan keluar kemelut ini tidak mudah kerana menyangkut MB yang juga Pesuruhjaya Negeri. Kedudukan PSJ agak istimewa kerana mempunyai kuasa yang luas dalam parti dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Presiden dan orang-orangnya. Kedua-dua personaliti ini juga pemimpin-pemimpin kanan dalam Pas negeri.

Masing-masing mempunyai sebab-sebab yang kukuh kenapa mereka bertindak demikian, dan pastinya mereka telah memperhitungkan segala risikonya. Apatah lagi, penyokong di belakang kedua-dua personaliti ini merupakan sayap penting Pas Kedah. Yang tak pasti pendiriannya ialah Pemuda Pas Kedah, adalah pemuda ini bersikap berkecuali atau memihak.

Jika isunya hanya sengketa peribadi dan tidak melibatkan dasar dan hala tuju kerajaan dan parti, masalah dapat diselesaikan dengan mudah. Ini kerana akar umbi akhirnya akan menilai apabila menyeret parti dalam soal sengketa individu, akhirnya individu akan ditolak oleh akar umbi. Yang diperlukan di sini ialah meletakkan orang ini di luar kerajaan walaupun dikekalkan dalam parti.

Namun jika isu ini melibatkan dasar dan hala tuju kerajaaan dan melibatkan jentera parti, menuntut kebijaksanaan dan ketegasan pihak pusat untuk bertindak, hatta jika melibatkan MB sekali pun. Hal ini kerana apa juga penyelesaiannya akan mendatangkan kesan secara terus dalam PRU13. Maksud saya menentukan sama ada Kedah kekal di bawah PR atau kehilangannya dalam keadaan negeri-negeri lain mengalami peningkatan kerusi PR atau jatuhnya negeri lain ke PR, dengan izin Allah.

Penyelesaian kemelut ini sesungguhnaya menjadi penanda aras kepada Pas Pusat sama ada mereka layak dianggap sesuatu organisasi politik ditadbir urus secara profesional atau terperangkap dalam stigma pengurusan parti yang mementingakan hubungan personal daripada tadbir urus beretika.

Jawatankuasa Pas Pusat harus melihat isu dasar dalam hubungan dengan masa depan kerajaan negeri, masa depan Pas Kedah, sekali gus masa depan Pas Pusat dan kredibiliti dalam PR berbanding Dap dan Pkr. Bertindaklah secara tegas, berprinsip dan profesional, dan berhemah.

Selebihnya semuanya bergantung kepada keikhlasan ketiga-tiga personal ini dalam merungkai kemelut ini. Matlamat parti, matlamat kerajaan dan harapan rakyat yang memberi mandat wajib diutamakan. Keangkuhan hanya mengaburi matlamat sebenar. Tiada salahnya mengakui kesilapan jika benar-benar khilaf, kerana kita bukan maksum. Rakyat Kedah mengharapkan janji-janji yang dilontarkan dalam PRU12 dikotakan dan dihayati.

Wassalam.

01 March, 2012

Kemelut Pas Kedah: Amiruddin Tersepit..

Salam. Dalam penantian Pas Pusat membincangkan formula Salahudin penyelesaian kemelut yang kian meruncing ini, Pas Kuala Kedah yang dipimpin Phahrolrazi meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan Ustaz Azizan.

Terkini, mengikut Sinaronline, Pas Kuala Kedah telah menghantar surat amaran kepada Timbalan YDP Pas Kuala Kedah, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berupa kata dua: bersama dengan Pas Kuala Kedah (sekaligus meletak jawatan sebagai exco!) atau terkeluar daripada Pas Kuala Kedah.

Alasannya, Amiruddin telah melanggari ketetapan mesyuarat AJK Pas Kuala Kedah pada 17 Februari 2012, iaitu adun-adun Kuala Kedah termasuk yb Nasir dilarang menerima pelantikan exco jika ditawarkan oleh MB.

Rasional Amaran Kata Dua

Amiruddin tidak hadir dalam mesyuarat AJK pada 17 Februari tersebut, namun ketetapan sebulat suara itu tentulah dimaklumi beliau. Amiruddin ialah Timb YDP Pas Kuala Kedah, sebagai pemimpin no 2 Pas Kuala Kedah mestilah mendukung penuh ketetapan yang telah diambil. Itu prinsip.Amiruddin tidak boleh dilihat "berkecuali" atau cuba bermain "play save" dalam isu yang kritikal begini.

Mungkin dengan ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat AJK tersebut, Amiruddin telah pun cuba untuk bersikap berkecuali.

Tetapi, sebagai orang no 2 dalam organisasi, beliau seharusnya dapat meyakinkan AJK rasional beliau mengambil sikap berkecuali dan dipersetujui oleh AJK. Sekurang-kurangnya Amiruddin perlu terlebih mendapat restu Phahrolrazi sebagai YDP.

Apabila Amiruddin tidak dapat meyakinkan AJK dan YDP tentang sikapnya dan menerima pelantikan exco, Amiruddin dianggap mengkhianati Pas Kuala Kedah. Pas berjuang atas prinsip istiqamah dan menolak kepentingan diri serta kepatuhan kepada ketua.

Maka Amiruddin haruslah bersedia untuk menerima apa-apa risiko sebagai akibat daripada penerimaannya terhadap tawaran pelantikan exco. Beliau tidak boleh menyalahkan Pas Kuala Kedah.

Ke mana Amiruddin?

Cakap-cakap arus bawah Pas Kuala Kedah, exco-exco yang dikira layak untuk kerusi MB ialah Phahrolrazi sendiri dan Amiruddin.

Sepanjang 4 tahun usia kerajaan negeri di bawah Pas, dan Phahrolrazi diiktiraf sebagai exco kanan, namun arus bawah dilihat kurang menyenangi Phahrolrazi kerana Phahrolrazi dilihat kurang memainkan peranan yang aktif dalam menyelesaikan permasalahan akar umbi di peringkat kawasannya, Dun Pangkalan Kundor.

Namun, isu sebenarnya ialah mengapa berlaku demikian, dengan senario yang berlaku ini, barangkali situasi yang membelenggu Phahrolrazi berhubung dengan tidak "perform" beliau dalam kawasan sendiri, barangkali dapat dicari puncanya. Bagi pemerhati yang teliti tentu dapat "membaca" apa yang sebenarnya yang berlaku. Kita harus bertanya siapa yang menganggotai AJK Pas Kuala Kedah. Hal ini berkait dengan sejarah silam antara hubungan personal antara Ustaz Azizan dengan individu-individu tertentu dalam Pas Kuala Kedah. Dan perlu diusut kembali, senario yang membawa perletakan jawatan Tuan Guru Haji Rahim dan kumpulannya daripada Pas Pendang.

Siapa yang berdiri teguh di belakang Phahrolrazi menentukan layanan pihak kerajaan negeri terhadap Phahrolrazi dan DUN Pangkalan Kundor. Pemerhati Pas Kedah dan para simpatisan perlulah melihat isu kesuraman bantuan dan peruntukan DUN Pangkalan Kundor dalam konteks yang lebih luas dan dalam konteks senario terkini.

Baru-baru ini Phahrolrazi turun ke kawasannya dan bertemu dengan pemimpin setempat, dan khabarnya beliau dibelasah agak teruk kerana bantuan dan peruntukan yang tidak turun. Phahrolrazi menelan semuanya tanpa mendedahkan situasi sebenar yag beliau hadapi.

Atas dasar ini, akar umbi beralih kepada Amiruddin yang dilihat lebih mesra akar umbi dan disenangi semua lapisan dan golongan.

Tetapi, jika isu sebenar terungkap dan terdedah, akar umbi akan menilai semula antara Pharolrazi dan Amiruddin.

Namun, Amiruddin harus berwaspada dan harus bertindak dengan betul dan sesuai tanpa memikirkan kepentingan jawatan. Akar umbi satu hal tetapi yang terlebih utama ialah beliau perlu mendapat sokongan dan meyakinkan AJK Pas Kuala Kedah dan AJK Pas Negeri.

Sikap beliau sekarang dalam isu pelantikan exco dan sejauh mana kepatuhannnya terhadap ketetapan mesyuarat AJK Pas kuala Kedah menentukan masa depan atau hayat politik Amiruddin dalam Pas Kedah. Amiruddin seharusnya mengambil sikap yang sama seperti Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh. Amiruddin harus mendengar nuraninya bukan jawatan exco sebagai penentu keputusannya. Sikap yang tekal dalam prinsip, mendukung ketetapan jamaah dan kepatuhan kepada ketua akan menentukan jati diri seorang pemimpin.

Jika Amiruddin menjangkakan beliau akan ditunjuki oleh Ustaz Azizan sebagai penggantinya, beliau sebenarnya akan mewarisi situasi yang dihadapi oleh ustaz Azizan sekarang. Pisang akan mungkin berbuah dua kali. Restu Phahrolrazi dan Dewan Ulamak Kedah adalah penentu survival politik Amiruddin, bukannya restu ustaz Azizan.


29 February, 2012

Krisis PAS Kedah: Isu Sebenar atau Apa Kata Utusan?

Agak menarik apabila kita ikuti senario yang menyelubungi MB Kedah ini dengan exco kanannya yang juga merupakan timbalannya pada peringkat kepimpinan parti, peringkat kepimpinan negeri. Saya kata menarik kerana hari ini sahaja Utusan sahaja memuatkan 3 berita dan satu artikel tentang kemelut ini. Baca sini, sini,
dan sini.

Apabila kita meninjau isu lebih dalam menggambarkan bahawa pertentangan idea dan cara mentadbir negeri ini bukan sahaja dalam pengendalian kerajaan malah membawa kepada pertentangan idea dalam pengurusan parti peringkat negeri.

Ustaz Azizan selain MB tetapi juga Pesuruhjaya Pas Kedah, manakala Datuk Phahrolrazi, Timbalan PSJ 1 dan Dr Ismail Salleh ialah Timbalan PSJ 2. Ini membawa maksud berlakunya pertentangan yang serius, tentang:

Pertama, pengendalian kerajaan dengan mengambil kira sistem syura. Apabila menggunakan sistem syura setiap keputusan mestilah berasaskan konsensus, bukan diktatorship / autokratik / kuasa veto. Segala pandangan exco harus diambil kira malah setiap exco diberi ruang yang luas untuk membuat keputusan dan melaksanakan keputusan berasaskan dasar dan konsensus.

Dasar dan konsensus ini pula bukan hanya tertakluk kepada agenda negeri semata-mata, tetapi harus merangkumi dasar dan konsensus yang telah disepakati oleh Pakatan Rakyat Pusat atau Majlis Presiden. Sebagai MB kerajaan PR, MB harus sentiasa menyedari setiap keputusan dan tindakannya akan membawa kesan kepada PR seluruhnya. Sebagai MB PR, seseorang individu itu tidak boleh membawa gaya dan tafsiran individu atau ideologi personal yang tidak terikat dengan dasar dan konsensus PR.

Jika seseorang exco, hatta seorang MB pun yang cuba membebaskan diri daripada konsensus PR maka seseorang itu harus meletakkan jawatan. Hal ini kerana kemenangan sesebuah negeri itu dalam PRU12 atas dasar kesepakatan dan kerjasama PR antara 3 parti (Pas, PKR, DAP).

Mengapa isu ini saya kemukakan? Hal ini saya andaikan berdasarkan tulisan Zulkiflee Bakar, Utusan Malaysia, 29 Februari 2012, dengan tajuk, "Azizan 'selamatkan' maruah Pas". Zulkiflee seolah-olah menyokong Ustaz Azizan. Bagi Zulkiflee, Azizan menjadi mangsa komplot menjatuhkannya daripada pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan Anwarinas atau Erdogan atau mengikut istilah Hassan Ali ialah 'parasit" dalam Pas. Begitu berkuasanya Anwar sehingga dapat menunduki TGHH, TGNA, Mohamad Sabu, Majlis Syura Ulama Pas Pusat.

Satu klue yang amat bererti dalam tulisan Zulkiflee ini ialah....."Apatah lagi Azizan bukannya menghadapi ancaman di Kedah sahaja malahan seperti dakwaan sesetengah pihak, ada tangan ghaib yang cuba mengganggu pentadbiran beliau. Mereka tidak suka dengan pendekatan Azizan yang dilihat terlalu mesra dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), malahan Azizan juga dilihat telus melaksanakan pentadbirannya."

Zulkiflee cuba mengelirukan dan menenggelamkan isu sebenar. Yang cuba ditekannya ialah soal komplot dan menyembunyikan isu sebenar atau isu dasar.

Tentang komplot ini, Phahrolrazi telah menafikannya.

Jika teliti, sikap UMNO terhadap kerajaan-kerajaan pakatan, UMNO begitu kuat menyerang Selangor, Pulau Pinang, dan tidak kurangnya Kelantan. Serangan terhadap Kelantan lagi hebat sehingga menafikan hak royalti minyak Kelantan, malah semasa Annuar  Musa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, projek pendaratan minyak dan gas yang sepatutnya di Kelantan tetapi dilencongkan ke Thailand. Dosa Annuar dan UMNO pada kelantan cukup besar dan tak berampun.

Tetapi mengapa UMNO pusat dan negeri begitu lunak dengan kerajaan negeri Kedah yang juga diterajui oleh Pas malahan media arus perdana yang diboikot oleh Pakatan Rakyat tetapi dilihat begitu mesra dengan Ustaz Azizan.

Isu kedua, kepimpinan Pas negeri. Sekiranya gaya dan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Ustaz Azizan tidak dipersetujui oleh kelima-lima exco ini, tentunya secara terus akan menjejaskan kestabilan jentera Pas negeri. Pertentangan ini tentunya akan merencatkan program-program Pas negeri dalam usaha melebarkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi atas pagar dan generasi muda.

Sekarang pun, terlalu banyak isu yang sedang berlegar di peringkat jentera akar umbi. Dalam keadaan pertentangan pendapat yang kritikal ini, bolehkah ustaz Azizan dapat bersangka baik terhadap kepimpinan pelapis yang tidak sebulu dengannya. Kreativiti kepimpinan pelapis dan penonjolan kepimpinan pelapis akan terencat.

Maka, daripada ulasan ringkas ini, saya nampak isu ini bukan lagi isu peribadi tetapi menyangkut survival kerajaan negeri Kedah dan Pas negeri.







Krisis PAS Kedah: Isu Kepimpinan, Isu Dasar atau Isu Peribadi?

Salam. Saya terpanggil untuk menyinggung isu ini atas dasar saya sebagai pemerhati politik Kedah di bawah Pakatan Rakyat. Saya begitu teruja untuk menulas dari sisi pandangan peribadi saya kerana wujud dua pertentangan pandangan tentang isu ini. Pendapat Ustaz Harun Taib sebagai ketua Dewan ulamak PAS bahawa isu ini kecil dan dapat diselesaikan dengan mudah, sedangkan pandangan SUA PAS, cikgu Mustapa dan Naib Presiden, Salehudin, isu ini adalah serius.

Dalam sidang media Datuk Phahrolrazi hari ini yang boleh diakses dalam Sinaronline, Malaysiacronicle, Malaysiakini, Datuk Phahrolrazi Zawawi (DPZ) sebagai exco kanan, menegaskan bahawa tiada komplot untuk menggulingkan MB, tiada kaitan dengan kumpulan erdogan atau anwarinas. Mengikut DPZ, isu dasar ialah beliau tidak lagi boleh bekerjasama dengan Us Azizan sebagai MB kerana perbezaan pandangan, pendapat tentang cara atau dasar dalam mentadbir kerajaan negeri.

Isu Kontrak

Dalam blog MSO, antara isu yang dipertikaikan ialah keputusan MB tentang kontrak maintenance jalan yang anggarannya berjumlah 5 juta (setengah sumber mengatakan 50 juta. MSO juga memetik dari sumber tertentu. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang mendapat kontrak ini dan adakah kontrak ini diperolehi oleh pihak tersebut melalui runding terus atau tender terbuka? Jika isu ini benar-benar wujud dan berlaku, kita boleh bertanya lagi siapakah yang perlu mengeluarkan surat tawaran kontrak tersebut? Bukankah bidang tentang jalan dan kemudahan asas terletak di bawah portfolio DPZ.

Dalam isu pemberian kontrak ini, Mahfuz Omar pernah menarik diri daripada menduduki kerusi lembaga pengarah salah satu GLC kerana pemberian kontrak ini.

Sehubungan dengan isu kontrak ini, kita boleh bertanya:

a)  Siapakah yang menentukan syarikat atau individu yang mendapat kontrak ini?
b)  Proses tender - terbuka atau anugerah (runding terus)?
c)  Adakah keputusan-keputusan soal pengisian dasar, contohnya kontrak, mengikut keputusan dalam mesyuarat exco atau pihak exco hanya menjadi rubber stamp?
d)  Berpandukan maklumat yang dipetik oleh MSO itu, adakah kontrak-kontrak sebelumnya selama 4 tahun, siapakah yang mendapat manafaatnya dan apakah prosesnya?

Sistem Penyampaian Perkhidmatan di DUN

Sesuatu yang pihak di luar Kedah tidak menyedarinya, adakah kemudahan-kemudahan asas seperti pembinaan titi dan jalan tar, yang di bawah selenggaraan kerajaan negeri sama rata pengagihannya antara kawasan DUN . Cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan wakil-wakil komuniti (MKK) antara kawasan DUN menunjukkan wujud perbezaan yang agak besar. Saya ambil contoh, DUN Pangkalan Kundor, MKK begitu resah dan tidak puas hati tentang tidak turunnya projek-projek yang telah pun dihantar ke pusat perkhidmatan DUN.

Selayang pandang, menampakkan bahawaYB bagi kawasan DUN tertentu begitu kurangnya peratus penyelesaian aduan atau permintaan di kawasan DUN tertentu, dan akibatnya YB di kawasan itulah yang dituduh tidak berinisiatif mencari dana untuk memenuhi permintaan dari rakyat. Jika ini yang terjadi, tentulah sokongan terhadap YB kawasan tersebut akan terjejas.

Sehubungan itu, kita perlu bertanya, sistem penyampaian kerajaan negeri yang lemah di kawasan-kawasan DUN tertentu, berpunca daripada YB yang tidak berinisiatif atau halangan daripada pihak-pihak tertentu. Harus diingat, dalam sesuatu tindakan kerajaan negeri, akhirnya bergantung kepada persetujuan pucuk pimpinan atas, MB.

Kerangka Dasar Kerajaan Negeri

Kita harus juga melihat isu yang lebih mendasar. Kerajaan Kedah adalah kerajaan PR. Kerajaan PR harus dan semestinya bergerak dalam kerangka manifesto Pakatan Rakyat dan pemenuhan janji-janji PR yang ditawarkan dalam PRU12.

Majlis Pimpinan Pusat PR telah merangka satu dasar bersama yang telah pun dizahirkan dalam bentuk satu dokumen, BUKU JINGGA (BJ).

Soalan seterusnya, adakah kerajaan PR Kedah bergerak berasaskan BJ? Soal bagaimana untuk memenuhi BJ di peringkat negeri adalah kreativiti pimpinan kerajaan negeri masing, tetapi setiap kerajaan PR mesti tunduk pada BJ.

Satu contoh jelas, bagaimanakah MB Kedah mengurus isu KUIN dalam soal penggantungan mahasiswa KUIN yang berdemo memprotes pengambil-alihan premis tahfiz, agak jelas sikap dan pendirian MB Kedah terhadap AUKU. Malahan, pengkritik beliau dalam isu ini diherdik dengan kasar.

Untuk bahagian pertama ulasan saya ini, saya akhiri dengan kenyataan berikut bahawa selami dulu isu ini sedalam-dalamnya, sebelum kita merumuskan sesuatu terhadap individu yang berbeza pendapat. Penentangan daripada pihak bawahan (exco) terhadap pimpinan atasan (MB) seolah-olah secara automatik sebagai usaha merampas kuasa, gila kuasa, dan gila kedudukan.

Bila terluang nanti, saya akan ulas soal  keikhlasan dan isu krisis peribadi dan hubungannya dengan survival parti dan kerajaan negeri.

Simpang 4.

25 January, 2012

CSL, Najib Lebih Popular Daripada Anwar, Apa Ertinya...

Quote The Malaysia Insider,

"Datuk Seri Najib Razak merupakan pemimpin pilihan untuk rakyat Malaysia kata Datuk Seri Chua Soi Lek, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya kerap kali bercakap bohong.

Presiden MCA itu juga percaya, pembebasan daripada pertuduhan liwat terhadap Anwar telah membersihkan imej perdana menteri dan bukannya ketua pembangkang tersebut, dan membuktikan ketelusan Badan Kehakiman - garisan yang digunakan pentadbiran Najib selepas keputusan dibuat pada 9 Januari lalu."

Kata-kata CSL ini tidak lebih daripada untuk menyedapkan hatinya dan orang-orang sekitarnya serta sasarannya untuk halwa telinga Najib dan pakar-pakar strategisnya.

Apa lagi yang tinggal untuk MCA dan GERAKAN sebenarnya? Adakah CSL sengaja menutup mata akan pengairan dan hakisan sokongan msyarakat Tionghua kepada PR khususnya DAP dan PKR?

Hakikatnya, survival dan eksistensi parti-parti Cina dalam BN berkait rapat dengan sejauh mana sokongan rakyat pada parti terasnya UMNO. Secara ironisnya ialah parti-parti Cina ini hidup atas belas ihsan UMNO. Dan lebih menyayat ialah hakikat ini disedari dan difahami dengan jelas oleh kaum Tionghua di luar sana, dan mereka inilah yang menentukan jatuh atau bangunnya mereka.

CSL cuba mempertahan Najib bahawa Anwar bukanlah pesaing Najib. Rasanya, dari segi pengalaman dalam menerajui kabinet dan kerajaan pun Najib telah terkebelakang. Cuba bandingkan dengan idealisme dan karisma Anwar dengan Najib, rasanya tak perlu dihujahkan lagi.

Apakah semua program Najib sejak beliau ambil alih Putrajaya daripada Pak Lah telah benar-benar berjaya? Kenapa analisis-analisis situasi dan arah tuju ekonomi Malaysia di bawah Najib yang digelapkan oleh media arus perdana begitu suram? Kenapa Muhyidin sampai perlu mempopularkan motonya, "MELAYU DAHULU, MALAYSIA KEMUDIAN"?

Soal pembebasan Anwar dari skandal Liwat2, adakah Najib benar-benar jujur? Atau Najib sedar akan hakikat tekanan antarabangsa (Barat dan Asia Barat) terhadap pentadbirannya jika Anwar disabitkan pertuduhannya dalam keadaan bukti yang jelas dipertikai? Dalam hal ini, Najib sebenarnya tiada pilihan!
Jika beliau benar-benar jujur kenapa rayuan pensabitan Liwat2 diteruskan malah Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan kes hasutan Karpal Singh dan Karpal perlu membela diri? Bukankah ini wujud atau tersembunyi satu motivasi politik yang jelas.

Ringkasnya, kata-kata CSL ini cuma suatu helah bela diri dan satu usaha untuk menyelamatkan dirinya!

Simpang 4, AS.



24 January, 2012

MB Kedah, KUIN, dan AUKU: Perlunya Kepala Dingin

Jika kita menyingkap Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di Alor star, Kedah awal Januari lalu, dikatakan begitu berjaya dengan Tawaran-tawaran Jingga sebagai mukadimah Manifesto PR pada PRU13 nanti. Termasuk dalam tawaran itu ialah pemansuhan AUKU pada kala Putrajaya berjaya dirampas PR.

Sedikit ironis ialah kejayaan konvensyen tersebut seolah-olah digerhanakan oleh penggunaan AUKU oleh KUIN yang sepenuhnya diurus oleh kerajaan negeri Kedah di bawah PAS dan PR. Sebagai latar belakang, diperturunkan quote ihsan "The Malaysia Insider":


"Lima mahasiswa itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat."

Ustaz Azizan menegaskan, " Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan kesalahan."

Terkini, protes terhadap isu ini oleh mahasiswa masih muncul dan seolah-olah mengasak Ustaz Azizan menyatakan pendirian jelas terhadap isu ini. Bagi segolongan mahasiswa yang komited memperjuangkan pemansuhan AUKU, tindakan MB Kedah ini tidak selaras dengan Tawaran Jingga. Bacaan lanjutnya, di sini.

Saya sedikit keliru dengan sikap MB Kedah ini:

a)  Apakah pihak pengurusan KUIN iaitu Rektornya memahami dan mendokong penuh Tawaran-tawaran Jingga dan kesepakatan PR atas isu AUKU?

b)  Apakah sikap berkecuali Ustaz Azizan ini menandakan ada halangan-halangan tertentu yang akan menimpa KUIN sekiranya beliau cuba campur tangan? Hal ini memandangkan pengiktirafan akademik dan kursus atau program masih tertakluk di bawah KPM (kerajaan Pusat). KUIN juga sedang dalam proses menyiapkan kampus induknya di Kuala Ketil, Kedah.

c)  Adakah MB Kedah ini tidak menyedari bahawa gerakan mahasiswa ini merupakan sebahagian kuasa generasi baru yang rata-ratanya menyandarkan harapan mereka kepada Pakatan rakyat?

Perlu kita sedari kita sebenarnya diambang PRU13, dan isu-isu yang mengganggu PR dan yang akhirnya memberikan peluru secara sengaja kepada pihak UBN seharusnya diminimumkan. Isu sebegini seharusnya diurus dengan kepala dingin. Membuka ruang perbincangan dan mencari penyelesaian yang memuaskan semua pihak, pada hemat saya, satu tindakan yang terpuji. Tidak silap saya, Pemuda PAS telah menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan cara Ustaz Azizan mengendalikan isu ini.

Didoakan agar isu ini dapat berakhir segera!

Simpang 4, AS.