06 March, 2012

Terlerai Kemelut Pas Kedah: Tahniah Salahuddin, Pengajaran Terhadap Pas Pusat

Salam. Alhamdulillah, akhirnya kemelut dan krisis Pas Kedah khususnya yang membelenggu Ustaz Azizan sebagai MB Kedah dengan TPJ1 dan TPJ2 terlerai sudah.

Phahrolrazi dan Dr Ismail akur dengan formula penyelesaian Pas Pusat yang bersidang lebih 5 jam untuk merungkai kekusutan yang kritikal.

Dlihat daripada formula peyelesaian oleh Pas Pusat iaitu Ustaz Azizan kekal sebagai MB dan PSJ Kedah, Phahrolrazi dan Dr Ismail di arah menerima semula jawatan exco yang ditolak mereka, dan ketiganya, Pas Pusat bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau dan memberi nasihat atas perjalanan kerajaan negeri sekiranya wujud sesuatu isu.

Mengikut sidang media oleh Pas Kuala Kedah yang dipimpin oleh Phahrolrazi, dan dihadiri oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Dr Ismail dan Yb Nasir, keakuran beliau dan Dr Ismail untuk menerima semula jawatan exco sekiranya diperkenan oleh Sultan Kedah adalah berasaskan persetujuan Pas Pusat membentuk Jawatankuasa Pemandu.

Peranan Salahuddin

Tahniah sewajarnya diberikan kepada Salahuddin. Kesabaran dan keprofesionalan beliau serta hemahnya, dua pihak ini dapat bersemuka dan berhujah secara fakta. Pemahamannya yang jelas terhadap isu-isu yang berbangkit membolehkan beliau dapat merumuskan dengan tepat dan melaporkannya kepada Jawatankuasa Pas Pusat. Dan, terhasillah formula yang tepat yang diterima oleh semua pihak yang berkonflik.

Kegagalan Perhubungan Negeri, dewan Pemuda Pas Negeri dan Pas Pusat

Mengikut Phahrulrazi dalam sidang medianya, isu-isu yang dibangkitkan ialah isu-isu yang telah lama. Isu-isu ini begitu kritikal sehingga menjejaskan moral jentera parti akar umbi dan pemimpin pertengahan.Moral jentera yang menjadi tunjang kekuatan parti telah merudum sehingga memungkinkan menjejaskan peluang untuk mempertahan kerajaan dalam PRU13.

Yang boleh dipersoalkanmengapa isu-isu yang sebegitu kritikal dibiarkan berlarutan dan tidak dislelesaikan pada peringkat awal lagi. Di mana letaknya fungsi dan wibawa Perhubungan Negeri? Sepatutnya Perhubungan Negeri berfungsi sebagai badan kawal selia perjalanan kerajaan negeri, khususnya MB yang juga PSJ. Begitu juga, jika didapati Perhubungan dilihat lemah, apa pula tindakan yang seharusnya diambil oleh Dewan Pemuda Pas Kedah. Nampak seolah-seolah dua badan ini dikawal kukuh oleh PSJ yang juga MB.

Imi memperlihatkan bahawa kepekaan yang rendah dalam proses penanganan masalah yang timbul dan memandang remeh setiap teguran dan ketidakpuashatian pemimpin pertengahan, akar umbi, hatta oleh exco sendiri. Ketaatan memang dituntut tetapi harus kena dengan tempatnya.

Kemelut ini menjadi begitu kritikal setelah ketiga-tiga badan tidak berfungsi lagi, dan yang paling malang ialah isu-isu ini telah pun diangkat ke pengetahuan Pas Pusat.Adakah Pas Pusat telah ambil maklum dengan serius dan mengambil tindakan yang bersesuaian? Jika Pas Pusat telah bertindak sejak awal, hemat saya, PSJ1 dan PSJ2, sekali-kali tidak mengambil tindakan yang boleh mematikan karier politik mereka. Ini memperlihatkan elemen personal dan hubungan individu telah mempengaruhi dalam membuat sesuatu tindakan sehingga mampu mencetus sesuatu krisis.

Kemelut yang kritikal ini dan menyesakkan nafas Pas pusat perlulah diambil iktibar betapa pentingnya sesuatu krisis itu diselesaikan pada peringkat awal tanpa memilih bulu.

Jawatankuasa Pemandu dan Ke mana Pas Kedah Selepas Ini?

Walau apapun kritikan, pro atau kontra, kemelut ini harus dinilai secara objektif tanpa elemen prasangka. MB ada rasionalnya kenapa hala tuju itu diambilnya. Begitu juga Kem Phahrolrazi, ada asas dan kewajarannya.

Yang menjadi timbang taranya ialah adakah Kerajaan Pas Kedah dapat dipertahan dalam PRU13 nanti. Pada hemat saya, kem Phahrolrazi melihat isu ini dalam konteks masa depan Kerajaan PR Kedah.

Kita boleh bertanya secara jujurnya, adakah kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Ustaz Azizan benar-benar selari dan mengikut acuan kerajaan Pakatan Rakyat. Adakah exco PKR dan exco DAP benar-benar terlibat dalam perjalanan dan pentadbiran Kerajaan Negeri. Untuk bahan rujukan sila ke sini.
Isu KUIN dan Buku Jingga boleh menjadi petanda terhadap sikap dan penerimaan MB pada kerangka dan dasar Pakatan Rakyat - mendaulatkan "Ketuanan Rakyat" dan "Keadilan", dan bagi pihak Pas, menawarkan "Negara Berkebajikan".

Jawatankuasa Pemandu inilah yang menjadi sandaran untuk membawa semula haluan dan dasar kerajaan negeri. Walaupun menurut SUA, jawatankuasa ini lebih bersifat "advisery" dan tiada kuatkuasa undang-undang, namun jawatankuasa ini boleh menjadi forum dan nasihat sekiranya timbul isu-isu berbangkit terhadap keputusan exco dan MB.

Pada hemat saya, terhasilnya formula penyelesaian ini, jentera akar umbi, pemimpin pertengahan akan bangkit semula dalam mempertahan kerajaan negeri Kedah di bawah penguasaan PR. Isu agihan kontrak, pengaruh umno dalam kerajaan negeri akan dapat ditangani dengan baik. Barisan exco dapat dipersatukan kembali (Pas, Pkr, Dap).

Dengan mengambil kira UMNO Kedah masih berpecah kepada fraksi-fraksi tertentu, dan biasanya, persaingan antara fraksi ini seperti permainan kalah mati, rakyat Kedah secara umumnya tidak dikejutkan dengan isu-isu besar melanda kerajaan negeri, kerajaan negeri masih berpeluang untuk dipertahan sekiranya bantuan dan peruntukan kepada rakyat dimaksimumkan serta segerakan program dan projek untuk rakyat seperti perumahan rakyat termiskin atau mampu milik serta selesaikan permasalahan yang berlonggok di PBT masing-masing.

Akhirnya, penyelesaian dan terlerainya kemelut ini, sebenarnya, satu kemenangan moral bukan hanya bercorak individu tetapi kemenangan kepada rakyat yang selama ini mendambakan sebuah kerajaan yang "berkebajikan" yang bebas daripada unsur-unsur kebobrokan UMNO.




No comments:

Post a Comment