24 March, 2012

Ke mana Pemuda Pas Kedah?

Salam. Kita sebagai pemerhati politik Kedah tidak memahami apakah sebenarnya yang ingin dicapai oleh pihak Pemuda Pas Kedah apabila mereka membawa usul dalam mesyuarat Perhubungan Pas Negeri baru-baru ini supaya TPJ1 dan TPJ2, Phahrolrazi dan Dr Ismail dilucutkan jawatan politiknya?

Saya secara khususnya telah menyentuh sebelum ini akan isu ini bahawa kemelut yang berputar tentang kepimpinan Ustaz Azizan dan hala tuju pemerintahan Kedah, sebahagiannya disebabkan kegagalan sayap-sayap parti ini memainkan peranan sebagai "semak dan imbang". Mudah sahaja alasannya, sekiranya mereka berperanan, tidak timbul Phahrolrazi dan Dr Ismail menolak pelantikan semula jawatan exconya. Kenapa mereka gagal? Jelas mereka memihak, dan tidak "nutral".


Ketuanya dan safnya harus sedar bahawa Pas Kedah tidak lagi bebas untuk bertindak sendiri dan sewenang-wenangnya bertindak. Kemelut Pas Kedah bukan suatu isu yang kecil. Pas Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu (JKP). Maknanya usul pemuda itu sebenarnya cuba merombak perhubungan negeri dikira melanggar atau tidak menghormati atau tidak mematuhi formula penyelesaian yang diusahakan oleh Pas Pusat.

Jika pihak Pas Pusat yang menilai kemelut ini tidak bersedia untuk merombak kepimpinan Pas peringkat negeri, dan masa sama mengarahkan 2 exco itu menerima pelantikan semula exco, menggambarkan bahawa ada isu yang sebegitu besar dan jika tidak diurus dengan baik tentunya akan menjejaskan kerajaan pakatan Kedah.

Di sini, agak jelas bahawa Pas Pusat melihat isu ini melangkau isu peribadi tetapi isu yang menyangkut survival kerajaan PR Kedah.

Dari bacaan biasa, dalam konteks penyelesaian dan formula Pas Pusat ini, Pemuda Pas Negeri melihat isu ini dari segi individu. Jika kemelut ini adalah isu peribadi atau soal perebutan tempat, perebutan kuasa, atau soal memperoleh kontrak, formula penyelesaiannya begitu mudah semudah formula menyelesaikan soal Hassan Ali.

Situasi Pas telah kembali normal, dan Ustaz Azizan pun begitu mempertahan asakan UMNO tentang JKP bahawa JKP tidak sekali-kali merampas kuasa MB. Soal angkat sumpah kedua-dua exco yang telah pun mendapat perkenan Tuanku Sultan, cuma menunggu masa yang sesuai sahaja. Ini membawa maksud Ustaz Azizan telah bersedia (berdamai) untuk ke arah persediaan ke arah PRU13.

Dalam situasi yang mula tenang ini mengapa Pemuda Pas Kedah menimbulkan isu yang cukup sensitif ini. Mujurlah Ustaz Azizan menolak usul ini.

Terdapat beberapa tafsiran. Pertama, sedia maklum bahawa Pemuda Pas Kedah menyokong kepimpinan Ustaz Azizan. Setiap sokongan haruslah sokongan yang rasional dan bersyarat, bukan sokongan tanpa soal atau wujud unsur-unsur tersembunyi. Adakah usul ini sebagai tindakan balas dendam atau hukuman kerana TPJ1 dan TPJ2 enggan patuh kepada PSJ? Dan adakah tercetusnya usul ini dalam pengetahuan PSJ? Jika usul ini dalam pengetahuan PSJ maka bolehlah dianggap suatu isyarat bahawa kedudukan PSJ1 dan PSJ2 terancam, dan boleh ditafsirkan Ustaz Azizan tidak menerima sepenuhnya formula Pas Pusat.

Jika usul ini hanya berniat untuk menunjukkan betapa setianya kepada Ustaz Azizan, maka berapa banyak pemimpin Pas Kedah yang perlu digugurkan kerana tidak sependapat dengan Ustaz Azizan baik sebagai kapasiti PSJ atau MB? Mengapa tidak diusulkan supaya Ketua Dewan Ulamak Pas digugurkan?

Kedua, usul ini dikemukakan barang kali untuk menguji sejauh mana pengaruh Phahrolrazi dan Dr Ismail dalam kalangan saf kepimpinan perhubungan negeri. Jika pada peringkat kepimpinan negeri, pengaruh mereka tidak kuat, bagaimana pula dengan peringkat kawasan dan akar umbi? Bagaimana pula reaksi Dewan Ulamak?

Ketiga, seharusnya Pemuda Pas harus berbincang dahulu dengan PSJ sebelum usul itu dikemukakan. Saya agak yakin sekiranya telah dibincangkan, usul ini akan tertolak. Banyak kesannya apabila usul ini dikemukakan tanpa restu PSJ. Pemuda Pas seolah-olah tidak memahami isu dan cuba menimbulkan ketegangan yang sudah pun mula pulih. Bagaimana pula tanggapan perhubungan negeri, dewan ulamak, JKP, dan akar umbi terhadap PSJ (MB)?

Akhirnya, PSJ (MB) harus memastikan Pas Kedah kembali bersatu dan menggembleng semua tenaga yang ada untuk memastikan survival kuasa PR di Kedah. Kemelut itu sudah selesai. Semua unsur yang cuba untuk menimbulkan ketegangan harus diberhentikan. Pada saya, tindakan Pemuda Pas Kedah ini jika tidak diuruskan dengan betul akan mengocak kembali Pas Kedah. Dan jika ini berlaku, umpama menepuk air didulang....

No comments:

Post a Comment