17 December, 2008

Bersediakah PAS ... (PRK36 KT <3>)


Posting ini lebih bertujuan untuk berkongsi pendapat dan bermaksud menegur apatah lagi pada 6 Januari 2009, PAS untuk kesekian kalinya akan diuji akan pengaruhnya di kubu kuatnya, Kuala Terengganu.

Dalam posting saya yang lalu, saya bertanya " Ke manakah PAS?", saya bermaksud untuk menegur PAS supaya bersedia menghadapi realiti politik hari ini (real politik). Tulisan saya itu dikuti pula dengan ulasan tentang posting Tulang Besi mengenai PAS Selangor ekoran penyingkiran YB Khalid Abdul samad sebagai TPJ PAS Selangor.

Banyak analisis pemerhati politik tentang PRK36 ini begitu kritikal bagi PAS, PR, dan UMNO (BN). Kekalahan bagi PAS atau UMNO akan membawa kesan yang cukup besar kepada parti masing-masing. Untuk lebih lanjut, lihat posting MSO, dan Bicara Nobisha.

Saya agak gusar tentang beberapa perkara. Saya tidak gusar kalau PRK kali ini bukan di kubu kuat PAS atau PAS sebagai "incumbent".

Pertama, soal Melayu atau Islam. Pengundi di KT didominasi oleh Melayu (88.2%). Kaum Cina pula 10.9%. Manakah pendekatan yang akan diambil oleh PAS sama ada akan memperjuangkan isu Melayu, hak istimewa, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, dan pendidikan atau memfokus terhadap isu Islam dan keadilan sejagat? Saya bimbang PAS berhadapan dengan dilema yang hebat. Memfokus kepada isu Melayu mungkin berkesan terhadap simpatisan UMNO tetapi bagaimana pula dengan pengundi bukan Melayu sama yang bersekutu dengan PAS atau di luar PAS? Begitulah sebaliknya, kalau PAS mengambil pendekatan untuk memfokus kepada Isu Islam dan keadilan sejagat.

Kedua, soal anggapan bahawa KT adalah kubu kuat PAS. Anggapan ini berpotensi menjadi silent killer kepada PAS. Jentera parti PAS peringkat negeri dan akar umbi berasakan selamat dan selesa. Oleh sebab mereka beranggapan demikian, mereka akan bersikap "tidak selesa" kalau soal pengendalian dan strategi pilihanraya berkongsi dengan PKR dan DAP. Mereka berkemungkinan bersikap terlalu melindungi kubu mereka. Kesannya, idea-idea daripada PKR dan DAP akan ditolak mentah-mentah. Suara-suara seperti ini telah mula kedengaran. Mereka akan lupa tanpa disedari bahawa orang luar mudah nampak kelemahan jentera.

Ketiga, soal fraksi dalam PAS. Soal ini walaupun tidak jelas akan bentuk kumpulannya, namun rasanya soal fraksi ini memang wujud. Saya maksudkan tentang kepercayaan PAS terhadap Gagasan Pakatan rakyat dan adakah PAS dapat memainkan peranan aktif dalam merealisasikan misi perjuangan Islamnya melalui gagasan ini. Persepsi ini jika wujud tentu menjejaskan kelancaran kempen dan mengganggu strategi pilihanraya.

Ketiga-tiga isu ini, pada hemat saya, perlu difikirkan dengan mendalam oleh PAs pusat dan PAS negeri Terengganu. ketiga-tiga isu ini tidak akan diselesaikan tanpa kejujuran dan kesediaan PAS, dan PASlah yang harus memainkan peranan untuk mengendurkan situasi ini.

p.s. : Nak cuti, balik kampung, apa pun kalau terluang akan update.

Di Serambi Simpang 4, AS.

No comments:

Post a Comment