17 December, 2008

PRK36 KT (2): ISU CAMRY, TIDAK PATRIOTIKKAH NIZAR?

1. Nampaknya isu Camry (ISC) ini berpotensi besar untuk dimasukkan senarai isu UMNO dan BN ( selepas ini saya rujuk sebagai UMNO sahaja) dalam kempen perdana mereka di Kuala Terengganu nanti.

2. Posting saya yang lalu juga ada menyentuh tentang sindiran tajam oleh Zambry Abdul Kadir, ADUN Pangkor, dan Timbalan Presiden Gerakan merangkap Pengerusi Gerakan Perak.

3. Terbaharu, saudara Nobisha < http://nobisha.blogspot.com/2008/12/kerajaan-bukan-bisnes-rakyat-bukan.html> dalam posting 15 Disember ada menyinggung isu ini. Beliau beranggapan tindakan ini sebagai tidak wajar kalau penukaran itu dengan alasan kos selenggara yang tinggi. Beliau mengesyaki wujudnya unsur rasuah. Beliau juga menganggap tindakan ini sebagai memperlekeh projek kereta nasional dan tidak patriotik.

4. Menurut Nizar, MB Perak, di sebalik pembelian Camry ini, tujuannya untuk penjimatan wang kerajaan negeri. Kriteria penukaran kenderaan rasmi dari Perdana V6 kepada Toyota Camry 2.4 ialah faktor keselamatan, kos selenggaran, dan aspek lain yang lebih memihak kepada Toyota Camry. Beliau memberi bukti bahawa kos selenggaraan Perdana V6 begitu tinggi sehingga melebihi RM1 juta sepanjang 5 tahun lepas. Rujuk di sini
< http://www.bernama.com/bernama/v5/newsgeneral.php?id=378284>

5. Untuk makluman, isu penggantian kenderaan rasmi kerajaan ini telah timbul sebaik sahaja selesai PRU12 apabila PR berjaya menawan 4 negeri selain Kelantan. Namun atas nasihat DSAI, dasar umum yang dipakai ialah tiada penukaran dan menggunakan kenderaan lama. Tentulah ada sebab-sebab konkrit keputusan penggantian Perdana ini diambil.

6. Isu Camry ini timbul selepas MB Terengganu, Datuk Ahmad Said menempah Mercedes sebagai kenderaaan rasmi kerajaan menggantikan Perdana V6. Alasan yang diberikan ialah kos selenggaraan yang tinggi.

7. Isu penggantian kenderaan ini dicetus semula oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan negeriberhasrat menggantikan PerdanaV6 ini dengan Toyota Camry. tetapi, isu ini tenggelam begitu sahaja.

Protes Prof Jomo

8. Apa salahnya atau tidak kenanya Perdana V6 ini? Isu Perdana ini sebenarnya hanyalah permukaan sahaja. Ia sesungguhnya berkait dengan kewajaran atau signifikannya Malaysia menceburi bidang automatif.

9. Seingat saya, Proton adalah projek TDM dalam menjayakan Malaysia sebagai negara perindustrian, projek pandang ke Timur, dan kerjasama strategik antara Kerajaan dan swasta. TDM memilih untuk melaksanakan industri automatif sebagai projek gergasi dengan hasrat supaya berlaku pemindahan teknologi automatif kepada anak-anak tempatan.

10. Salah seorang ahli akademik yang menentang projek ini ialah Prof Jomo K Sundram dari UM. Beliau diiktiraf sebagai salah seorang pakar ekonomi Malaysia.

11. Kini, terbuktilah mengapa secara konsisten Prof Jomo menentang program ini. Alasannya mudah:

a. Tidak dapat bersaing dengan negera-negara pengeluar kereta dunia seperti Jepun dan negara-negara Eropah. Mereka telah menceburi diri dalam bidang ini sejak ratusan tahun. Negara-negara inilah yang menguasai pasaran dunia dengan pelbagai jenama. Negara-negara pengeluar kereta ini bukan sahaja establish daripada kejuruteraan kereta malah disokong oleh syarikat-syarikat yang amat mahir dalam bidang komponen elektronik, yang menjadi vendor mereka.

b. Oleh sebab negara-negara pengeluar ini telah establish dan menguasai pasaran dunia, kesan pasti ialah kos pengeluaran mereka rendah. Hasilnya mereka boleh menjual kenderaan mereka dengan harga yang murah tetapi berkualiti dalam semua aspek.

c. Pelaburan yang tinggi. Pelaburan yang tinggi ini tidak sepadan dengan kualiti outputnya. Kepakaran kita tidak setanding dengan mereka. Ada setengah komponen, kita masih import dari negara luar.

d. Mitsubishi yang menjadi mentornya, dan pembekal kepakaran dan teknologi automatif, dianggap oleh penganalisis industri automobil sebagai teknologi lapuk dan ketinggalan zaman.

e. Dengan keadaan yang demikian, pasaran kereta nasional menjadi terhad dan tidak dapat menembusi pasaran antarabangsa, maka harga seunit kereta menjadi mahal, kualiti yang tidak setaraf, dan harga alat ganti yang menjadi tinggi.

f. Maka wujud keadaan, kereta yang dieksport, harganya terpaksa diturunkan, dan pada masa yang sama kereta nasional yang dijual dalam negeri menjadi mahal.

g. Apabila jualan kereta menurun kerana pasarannya yang terhad maka margin keuntungan menjadi kecil malah mengalami kerugian. Akibatnya peruntukan untuk R & D mengecil, dan kesannya lambat berlaku inovasi.

Soal Patriotik

12. Soal patriotik. Saya kira kita tidak menjadi patriotik hanya sekadar menggunakan kenderaan nasional, tetapi dalam masa yang sama terpaksa membeli sebuah kenderaan yang akhirnya menjerat kewangan kita.

13. Saya berpendirian MB dan exconya telah membuat penilaian yang mendalam dalam hal ini. Keputusan ini bukan kerana soal politik, tetapi kepada soal pertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri yang sumbernya begitu terhad.

14. Kita tidak boleh menyamakan keadaan atau kemandirian kewangan negeri-negeri PR dengan negeri-negeri yang dikuasai BN. Sudah tentu peruntukan pembangunan dan bantuan kewangan Persekutuan akan mencurah ke negeri-negeri BN, tetapi bagaimana untuk negeri-negeri PR. Saya percaya, untuk mendapat peruntukan perkapita atau geran wajib pun susah, apatah lagi dengan bantuan atau pinjaman daripada Persekutuan. Contoh jelas, apa yang terjadi kepada Kelantan.

15. Maksudnya, kerajaan-kerajaan negeri PR terpaksa bergantung kepada hasil negeri yang terhad. Harga Perdana V6 Eksekutif bukanlah murah, tetapi kualiti yang tidak setaraf dengan kereta sekelasnya, dengan kos selenggara yang tinggi, maka penggunaan kenderaan ini menjadi tidak ekonomik. Dengan penggunaan Camry, jaminan kualiti yang cukup ketat, dan semestinya dengan pakej yang lengkap maka kos selenggaranya akan menjadi minimum, maka lebihan wang hasil daripada penjimatan pembelian Camry tentunya akan mengalir kepada rakyat.

16. Akhirnya, penilaian sebenar patriotik, pada hemat saya, ialah diukur sejauh mana ketelusan dan penyampaian khidmat kerajaan kepada rakyat secara adil dan merata.

17. Oleh itu, penilaian kita terhadap sesuatu tindakan oleh kerajaan PR amat perlu dibuat secara adil (kena pada tempat dan keadaan) bukan semata-mata pada tafsiran selapis dan berkepentingan.

Catatan Hujung:
(Bila Hati Berdetik)

Kepada seseorang, diucapkan selamat bercuti, lupakan seketika masalah yang menjerut jiwa, berdialoglah dengan diri, berilah ruang untuk diri sendiri merasa bahagia.

Di Serambi Simpang 4, AS.

No comments:

Post a Comment