04 December, 2008

Ke mana PAS?: Satu Renungan

(dengan reaksi khusus untuk Pak Khalid tentang Kisah Khalifah Umar
Abdul Aziz Dan Anak Lelakinya
)

Begitulah apabila kita berpolemik, harus ada dasar dan hujah. Kisah Khalifah Umar dan anak lelakinya amat signifikan dengan permasalahan kontemporari iaitu bagaimana untuk mencapai sesuatu matlamat, menyentuh langsung soal pendekatan dan strategi.

Islam adalah agama dan addin. Islam adalah universal dan tetap relevan untuk setiap masa dan zaman hingga kiamat. Soalnya bagaimana untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat (berbudaya)? Menurut apa yang saya fahami, Islam menyediakan panduan dan prinsip umum yang kekal dalam aspek pengisian budaya hidup. Bagaimana untuk mengisinya bergantung kepada ruang dan waktu serta masyarakatnya?

Yang saya maksudkan ialah Islam tidak dapat ditegakkan hanya kerana adanya organisasi yang berteraskan Islam, tetapi pimpinan dan ahlinya hanya menguasai sesuatu aspek ilmu sahaja. Ilmu keduniaan wajib didalami dan dikuasai. Saya fahami juga bahawa dalam Islam itu terdiri dua hubungan yang tidak terpisah: hubungan dengan Allah s.w.t dan hubungan sesama manusia.

Dengan sempurnanya Islam pada saat hampirnya kewafatan Rasulullah maka soal hubungan pertama telah selesai. Tetapi bagaimana dengan hubungan kedua? Di sinilah perlunya peranan para intelektual Islam menerokanya. Islam tidak akan tertegak tanpa pendekatan dan strategi tertentu dalam meneroka hubungan yang kedua itu.Dan politik Islam itu sesungguhnya termasuk dalam hubungan yang kedua itu yakni mengurus hubungan sesama manusia dalam aspek bernegara dan bermasyarakat. Puncak atau pusat sesuatu budaya ialah politik (baca:kuasa). Islam juga telah menetapkan prinsip-prinsipnya dalam setiap aspek budaya.

Dalam konteks inilah saya rasa pendekatan dan strategi PAS harus berubah seiring dengan perubahan masyarakat. Ulamak dan umarak perlu saling bergandingan. Al Quran dan Al Hadis, Sejarah Kenabian kita, serta himpunan khazanah ilmu Islam menjadi panduan.

Sudah tiba masa PAS perlu bergerak atas landasan organisasi Islam berteraskan intektualisme. Budaya seminar perlu disuburkan melalui penubuhan institut-institut pemikiran seumpama IKD. PAS kaya dengan tenaga intelektual.

Saya yakin sesuatu organisasi terutama organisasi politik yang tidak peka atau gagal untuk menggembleng tenaga-tenaga inteletualisme akan mati akhirnya. Hal ini kerana zaman sesuatu berubah kerana alam adalah bersifat baru dan tidak abadi. Yang mampu merumus perubahan-perubahan itu ialah ilmu (baca: sains atau sunatullah atau hukum alam). Orang yang bekerja dalam bidang ini ialah intelektual.

Sikap tidak endah atau seakan-seakan memandang sepi akan perbezaan pendapat yang dilandasi oleh hujah-hujah ilmu merupakan antara ciri sikap fanatik atau dogmatik yang melulu. Sikap ini jika tidak dibendung maka organisasi itu sedikit demi sedikit akan berundur ke belakang tanpa mereka sedari sedangkan banyak kehendak dan keperluan masyarakat kini terisi dengan ideologi atas sistem “lain”. Akhirnya organisasi ini menjadi tidak tahu untuk berdepan dengan masyarakat yang telah jauh berubah, dan masyarakat pula mencari alternatif lain yang serasi dengan mereka.

Contoh jelas, belajarlah daripada apa yang sedang berlaku di depan mata kita. UMNO telah tidak relevan lagi. Parti ini hanya sesuai bagi orang-orang yang bernostalgia bahawa negara ini masih tetap kekal seperti Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Parti ini hanya sesuai untuk orang-orang yang berjuang untuk kuasa dan harta dengan alasan memperjuangkan agama dan bangsa. Para intelektual, orang-orang yang tidak sehaluan dengan mereka disabotaj dengan segala macam halangan berbentuk undang-undang. Lebih parah mereka diISAkan. Parti ini sebenarnya telah berubah menjadi satu spesis dinasaur. Rakyat sebenarnya menilai mereka dan merasakan akibat buruk dasar-dasar atau penyelewengan yang mereka laksanakan. Dan, akhirnya rakyat mencari alternatif.

Catatan Hujung:
(Apabila Hati Berdetik)

Biarkanlah mereka dengan sandiwara mereka. Kebanyakan manusia suka mengenakan topeng. Kerana itu, sebelum membuat pemilihan, kenalilah akar dirinya - kelak tentu kita akan dapat membezakan antara yang asli dan yang fatamorgana ... Esok mentari tetap menyinar dan rembulan tetap mengambang ....

3 comments:

  1. salam.

    Setuju. PAS perlu kurangkan beretorik dgn pelbagai terma2 bombastik. Apa yg penting dan semua org nak tgk ialah 'walk the talk'. Ini masalah 'kita' bila terlalu memilih pemimpin yg pandai bercakap tp krg mahir berfikir dan bekerja. Cdgn plg mudah, buat masa ni semua cawangan dan kawasan perkemas institusi tarbiah masing2 dgn program2 biasa spt usrah n tamrin tp dgn approach yg lebih menjurus kpd mengasah daya pemikiran dan intelektual. Pendekatan yg terlalu 'mendoktrin' ahli dan mad'u sudah kurang relevan. Dengan bahasa lain, kita membuka minda masyarakat dan bukan menutup minda utk memahami Islam. Dgn cara ini, saya yakin hasrat helangjagat utk memupuk buadaya intelek ahli PAS akan lebih subur, bahkan menggalak ahli berfikir dan berhujah berdasarkan dalil, fakta dan realiti semasa. Wallahu a'lam.

    ps; selain isu daya berfikir dan berhujah; saya melihat isu "disiplin sbg ahli jemaah" sbg suatu isu besar terkini yg semakin perlukan perhatian dan tindakan pimpinan di semua peringkat.

    ReplyDelete
  2. Untuk Anonymous,

    Saya setuju dengan saudara. Itu yang sepatutnya pendekatan yang diambil. Teruskan dengan peranan saudara.

    Untuk Azli,

    Terima kasih diucapkan. Blog ini terlalu sederhana. Saya pun telah link blog saudara.

    Wassalam

    ReplyDelete