11 December, 2008

Lingkaran Syaitan Mohamad Fairus Khairuddin

1. Saya menunggu dan menanti untuk mengulas tentang Mohammad Fairus Khairuddin (MFK) sejak Blogger Perisik Rakyat melancarkan kempen mendesak Lim Guan Eng (LGE) memecat MFK sebagai TKM1 Pulau Pinang.

2. Blogger yang prolifik ini begitu marah dan kecewa dengan prestasi MFK sebagai TKM1. Blogger ini melancarkan kempen dengan tajuk, LGE: Lucutkan Jawatan TKM1 SEGERA ... , 5 Disember 2008 (http://perisik-rakyat.com) .

3. Saya katakan saya menunggu begitu lama untuk mengulas isu ini kerana untuk berlaku adil kepada beliau, dan dalam masa sama menanti maklumat lanjut. Dalam hati saya, tentu ada sesuatu yang berlaku, yang orang lain tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

4. Blogger Perisik Rakyat (BPR) tidak berpuas hati:

a) Laporan-laporan dan cakap-cakap tentang MFK menggambarkan MFK ini begitu tegar untuk berubah.
b) MFK sukar untuk ditemui.
c) MFK sering lewat datang ke pejabat, lewat ke mesyuarat, atau sesuatu majlis.
d) Jarang turun padang ke DUN Penanti, kawasannya.
e) Rendah prestasinya sehingga LGE terpaksa melindunginya apabila setiap komen atau kritik terhadap MFK diajukan kepada beliau.

5. Dalam kes kritikan atau komen terhadap prestasi MFK sebagai TKM1, saya secara peribadi amat tertarik dengan sikap LGE dalam mempertahan anak buahnya, sehinggakan beliau menegaskan bahawa soal TKM1 adalah urusan PKR, selagi beliau tidak menerima arahan spesifik, TKM1 tetap kekal dengan jawatannya. Inilah contoh terbaik sifat seorang pemimpin. (http://www.malaysiakini.com/news/94021).

6. Sebagai seorang ketua, amat mustahil beliau tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. MFK sendiri menjelaskan bahawa hubungan beliau dengan LGE adalah tidak bermasalah dan rapat. Barangkali, maklumat tentang apa sebenar berlaku adalah sulit maka LGE mengambil sikap mendiamkan diri.

7. Begitu juga, amat mustahil isu sebesar ini tidak diambil peduli oleh DSAI. Beliaulah yang melantik MFK sebagai wakil PKR sebagai TKM1. Saya percaya MFK telah pun memaklumkan isu ini kepada mentornya.

8. Saya sendiri pun hairan mengapa hal ini boleh menjadi begitu serius. Apabila saya meneliti biodatanya, dalam blognya (http://mfairus.blogspot.com), beliau merupakan seorang anak muda (32 tahun), yang memiliki dua sarjana, ijazah sarjana muda sains politik, UIA, dan sijil pengajian Islam, UM. Anak muda ini memang hebat dari segi ilmu. Saya rasa sebab inilah DSAI tertarik padanya, selain sebagai barisan pelapis PKR.

9. Begitu serius hal ini sehingga 6 orang pegawai khas TKM1 ini meletak jawatan serentak. Ini dilaporkan dalam Malaysiakini, 4 Disember 2008 (http://www.malaysiakini.com/news/94369). Keenam-enam mereka termasuk setiausaha sulit, setiausaha politik, pegawai akhbar dan pegawai khas memberikan alasan yang sama: "masalah sikap" pemimpin muda itu. Mohammad Fairus didakwa tidak cekap mentadbir, sering lambat menghadiri program dan mesyuarat dan juga membatalkan di saat akhir, tidak mempunyai hubungan baik dengan pemimpin dalam Pakatan Rakyat dan mempunyai etika kerja yang berbeza.

10. Yang terbaru, MFK menjadi sasaran kritikan Pemuda PAS Pulau Pinang. Mereka menyatakan selepas 10 bulan Pulau Pinang dirampas Pakatan Rakyat, Pemuda PAS negeri masih gagal bertemu secara rasmi dengan timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin walau telah berusaha beberapa kali, kata sumber dewan itu. Lalu dewan itu menganggap pemimpin kerajaan Pulau Pinang itu tidak berminat berjumpa dengan barisan kepemimpinannya. Rujuk di sini, (http://www.malaysiakini.com/news/94609).

11. Hati saya terdetik, ada sesuatu yang tidak kena, yang sebahagian besarnya barangkali bukan berpunca daripada peribadi MFK. Saya agak yakin puncanya ialah jawatan dan kuasa.

12. Akhirnya Ketua Umum PKR memecah kebuntuan saya, MFK dan Abdul Malik Abul Hassan dipanggil secara tertutup. Hal ini didedahkan juga oleh BPR dalam postingnya, 7 Disember 2008.

13. Rupa-rupanya yang berlaku ialah pertelingkahan dalaman pimpinan PKR Pulau Pinang. Khabar angin menyatakan YB Abdul Malik Abul Hassan yang menjadi dalang dalam mensabotaj MFK dan dalang di sebalik munculnya blog anti MFK. Kedua-dua personal ini diberi amaran keras supaya menamatkan persengketaan mereka, dan DSAI menegaskan bahawa MFK tetap kekal sebagai TKM1.

14. Menurut AMK Pulau Pinang, MFK telah mula menunjukkan perubahan dan peningkatan prestasinya. MFK dilihat memberi respon positif terhadap teguran dan nasihat daripada pihak berkenaan.

15. Saya sempat meneliti blog YB Mohd Fairus, posting terbaru iaitu 10 Disember, beliau turun padang ke DUN Penanti (Kenduri Korban). posting pada 8 Disember, beliau melawat lokasi kenduri korban. Ini menunjukkan beliau telah mulai bergerak secara aktif.

16. Walaupun beliau berkemungkinan disabotaj secara "senyap" namun meletakkan kesalahan pada orang lain semata-mata, tanpa melihat kelemahan diri merupakan satu sikap yang tidak profesional. Di sini MFK perlu melihat kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya.

17. YB MFK perlu sedari bahawa ketokohan dan kepimpinan walaupun kelulusan merupakan prasyarat utama, tetapi hakikat politik adalah seni hubungan antara pemimpin dengan orang yang dipimpin. Keampuhan seseorang pemimpin ialah ketrampilan dalam mengeksploit hubungan sesama manusia. Jika pukul 3 pagi ketika kita sedang nyenyak tidur, tetapi apabila ada panggilan kecemasan berkaitan masalah rakyat, kita perlu bersegera menanganinya, kalau boleh hadir di tempat kejadian.

18. Barangkali faktor usia yang agak muda menyebabkan YB ini agak sukar bergerak di celah-celah orang-orang berpengalaman di sekelilingnya. Namun hal ini boleh dipelajari. LGE sendiri, kita teliti dari segi usia, masih lagi muda, tetapi beliau dapat bergerak dengan selesa.

19. MFK perlu lebih mendekati tokoh-tokoh yang hampir sebaya dngan beliau. Banyak tokoh seperti YB Azmin, YB Sarifudin, YB Salehudin (PAS), YB Husam, dan yang lain-lain. Belajarlah daripada mereka. Mereka adalah orang-orang yang kaya dengan pengalaman dan "lali" dengan sepak terajang politik. Musuh pula bukan untuk dijauhi malah untuk didekati dengan penuh hati-hati.

20. Sejauh mana tingginya kelulusan kita, rakyat tidak akan menilai atau menghormati kita, menyayangi kita, kalau kita sebagai ahli politik yang mewakili mereka, tiada sentuhan dengan nurani mereka. Kita sebagai ahli politik, harus bijak mengurus hati-hati manusia seluruhnya.

Catatan Hujung:
(Bila Hati Berdetik)

Luka yang terlalu dalam rasanya apabila huluran tangan kita yang ikhlas tidak bersambut dan disalah tafsir. Namun, itulah dunia. Biarkanlah...

Di serambi Simpang 4, AS

5 comments:

  1. Kata pujangga..malu bertanya sesat jalan! selagi kita hidup selagi itu kita kena belajar apa yg tak tau..tanya pada orang yg mahir di luar bidang kita. Sikap tak segan bertanya dan merendah diri harus kita amalkan walaupun kita berada pada kedudukan yg tinggi.

    ReplyDelete
  2. Kata pujangga, malu bertanya sesat jalan. Selagi kita hidup, selagi itulah kita harus sentiasa bertanya pada yg arif. Sikap tak segan bertanya dan belajar harus kita amalkan tak kira di mana kedudukan kita.

    ReplyDelete
  3. the attitude speaks for itself, first lazy, than the tikam menikam, fitnah sabotaj, macam mana nak maju kalau orang melayu tak menolong diri sendiri. ini bukan kenyataan anti melayu tapi mengenai peibadi setiap adun pakatan, calon2 pkr ada serba problem sikit, dari P.A. MB Selangor, adun bodoh si kaki perempuan cina kes sedekah PERAK, sekarang TKM1, semua dapat jawatan untuk memajukan initiatif rakyat untuk membersihkan negara dari nepotisma, korrupsi, dan bodoh sombong, tapi belum belajar lagi, ini lah peluang untuk UMNO dan bn untuk sabotaj Pakatan. Kepada setiap calon PAKATAN, TAK KIRA BANGSA ATAU AGAMA, CLEAN UP YOUR BLOODY ACT, 4-5 YEARS ARE A SHORT TIME TO CLEAN UP THE MESS OF UMNO, so behave or forever hold your piece. Jangan jatuh dalam perangkap umno yang main hal kekauman.

    ReplyDelete
  4. Post yang begitu menarik!

    Akan feature post saudara di laman web kita di http://mylivingwall.com
    dan paut kembali ke blog saudara.

    All the best!

    ReplyDelete
  5. Salam untuk semua,

    Blog didedikasikan untuk perkongsian idea, rasa, dan cita-cita.

    Blog ini terlalu sederhana.

    Teruskan dengan usaha saudara.

    Terima kasih atas respon.

    ReplyDelete