03 January, 2009

Awas, PAS Mula Membuka Buah Silat!


Sebenarnya dalam sehari dua ini, minda sedang bergolak ingin menjawab beberapa komen yang masuk dalam posting blog ini. Pokok persoalannya telah lama bersarang dan dah lama dieramkan. Persoalannya "simple" tentang keyakinan dalam berpolitik dan kaitannya dengan hakikat manusia dan kemanusiaan.

Namun, biarlah dulu-persoalan ini terpaksa dieramkan lagi. Tunggulah saya akan tamatkan tempoh eraman itu nanti.

Dalam soal teka teki siapa calon PAS pada PRK36 nanti, agak mengujakan juga. Hal ini kerana banyak blog yang propakatan telah menamakan beberapa calon tertentu. Akhirnya, Presiden PAS, TGHH, memutuskan calon "kompromi", ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut. Orang lama, masuk penggal kelima mengekalkan kerusi di sini, dan kalau tak silap YDP Kuala Terengganu.

Sehingga timbulnya isu muzakarah PAS-UMNO, TGHH kelihatan kurang menonjol atas platform Pakatan Rakyat sehingga beliau mencetuskan istilah "PM Mat Jenin".

Namun, isu ini akhirnya membawa kesan yang berat juga kepada PAS sehingga timbul istilah kumpulan Erdogan - seolah-olah timbul sekurang-kurangnya 2 fraksi dalam PAS. Dan isu ini jika dibiarkan barangkali mampu memecahkan kekuatan PAS.

Oleh sebab kumpulan Erdogan yang propakatan ini bukan calang-calang pemimpin - berada pada paras pimpinan Pusat maka isu ini jika tidak diungkaikan akan menjadi virus.

Akhirnya, TGHH sedar akan musibah ini kalau beliau tidak memainkan peranan aktif dalam meredakan krisis ini.

Ekoran dari ini, TGHH mula kelihatan menonjolkan sifatnya sebagai Presiden dan mula bertindak sebagai pemimpin politik. Secara beransur TGHH mula memasuki dan berdiri atas platform Pakatan, dan mula memainkan peranan aktif.

Mutakhir ini, saya terkesan sekurang-kurangnya 2 sikap beliau yang membuktikan beliau bertindak sebagai ahli politik. Pertama, soal hudud yang dimanipulasikan oleh media ekoran daripada kenyataan Husam dalam Wacana Perdana di Kelantan. Pada saya, TGHH sanggup mengambil risiko apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang menyokong kenyataan Husam bahawa Hudud tetap menjadi agenda PAS tetapi soal kehidupan masyarakat perlu difokuskan terlebih dahulu.

Kedua, soal calon PRK36. Ini pada saya merupakan satu kebijaksanaan, mengemukakan calon yang boleh diterima oleh semua pihak. Tidak ada sebab untuk pihak tertentu berasa terkilan kerana calon yang dipilih adalah calon "nutral" dan saya kira calon"profesional".

Dengan sikap dan teladan TGHH ini, saya percaya penyusunan gerak kerja PRK36 ini dapat diatur dengan lancar, dan tentunya Wan Farid tidak akan tidur lena. Apatah lagi pengundi di KT ini adalah pengundi bandar yang cukup terdedah dengan maklumat dan faham dengan sepak terajang politik.


Di Serambi Simpang 4, AS.

No comments:

Post a Comment