12 March, 2010

Membaca Insiden Khalid Samad ...


Salam.

Maaf kepada penyinggah kerana dua posting terbaharu agak melankolik dan romantis dan terlalu personal. Itu gunanya blog, hak pemunyanya. Kadang-kadang hati mudah tersinggung, dan kesannya agak menyakitkan maka kesakitan itu yang bagai duri perlu dikeluarkan - penulis umpama penyair .... maaf sekali lagi. Namun 2 lagu Ebiet yang saya masukkan itu, tidak rugi untuk didengar ... melodi dan liriknya cukup menyentuh ....

Telah agak lama tidak menulis dan mengulas riak, ribut, dan ombak dalam permainan politik tanah air. Sebenarnya, isu Khalid Samad dan hukuman pancung oleh Jawatankuasa TITM walau nampaknya tenang di permukaan, tapi saya percaya arus di bawah masih kuat.

Saya membacanya begini.

Asas pembentukan dan pengaktifan Jawatankuasa Disipl;in PAS Pusat untuk kes Dr Hassan Ali (PSJ Selangor) dan Khalis Samad (YDP Pas Shah Alam) ialah ekoran syor EGM oleh TGNA yang meminta agar EGM menilai tingkah-tingkah songsang Dr Hassan Ali, Ustaz Nasha, dan Mustapa Ali. Kes atau isunya penggugatan terhadap kesepakatan PR Selangor dan PR seluruhnya.

Keputusan akhir seolah-olah kepentingan parti yang diutamakan, dan soal PAS sebagai juzuk komponen PR diletak sebagai no 2. Seperti kata Khalid, dalam postingnya yang terkini, "meletakkan PR di paras bahu dan parti sendiri di paras kepala". Semua maklum bahawa keputusan muktamar lepas ialah PAS perlu mengambil apa jua cara untuk memperkukuh PR. Dan ini, sesungguhnya, soal strategi yang telah pun diambil kira oleh dasar!

Khalid yang mempertahankan PR diberi hukuman pancung, manakala Dr Hassan hanya diberi amaran keras secara bertulis sahaja.

Dalam isu Khalid ini, kalau diperhalusi, seolah-olah mendapat restu Presiden, TGHH. Cuba teliti kenyataannya dalam Malaysiakini, 11 Februari 2010, dalam pertemuannya dengan AJK PAS Kawasan Shah Alam, dalam kes isu keputusan disiplin terhadap Khalid. Kedatanganya, begitu lewat, lewat dua jam, hanya bertemu dalam tempoh 30 minit, dan sempat diajukan 3 soalan sahaja. Tentang kelewatan ini pun, begitu tidak profesional. Cuba selami makna kata-katanya yang saya perturunkan, "Antara dua ini, sekiranya berlawanan antara parti dan Pakatan, yang mana kita hendak dahulukan? Mesti didahulukan parti, bukan Pakatan," Sedangkan, Khlaid sendiri pun tidak diberitahu sehingga kini, apakah rahsia parti yang beliau bocorkan!

Amaran Buat Pendokong PAS dan PR

Kepada pendokong PAS dan PR yang mendokong wawasan politik baru wajib membaca dan menghadam tulisan Khalid yang terbaru ini. khalid mengupas panjang premis dan hujahnya dengan megambil inti sari pengajaran sirah Nabi iaitu iktibar Perang Uhud dan peritiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Khalid menegaskan bahawa tindakan PKR memecat Zul Kulim dari partinya, PKR, sesungguhnya mengambil kira soal kesetiakawanan PR. PKR menolak ke tepi kepentingan sendiri. Hal ini kerana PKR faham bahawa survival ketiga-tiga parti amat bergantung kepada kelangsungan hidup PR. PR lemah bermakna ketiga-tiga parti turut lemah.

Begitu juga dengan DAP, yang walaupun sekiranya diambil jumlah kerusi parlimen melayakkan DAP mengambil tempat Ketua Pembangkang di Parlimen. Namun, DAP faham makna setiakawan dan survival PR. Mereka tetap berdiri teguh di belakang DSAI.

Apakah Maknanya?

Maknanya, jelas PKR walaupun setahun jagung dalam arena politik, dan DAP, memiliki aktor-aktor politik yang matang dan cerdik. Mereka bijak dalam isu yang menyangkut soal strategik.

Bagamana dengan partinya sendiri, PAS? Apabila diteliti, dengan mengambil iktibar insiden Khalid ini, PAS seperti berada dalam lingkungan yang dinamakan "lingkaran syaitan".

Dalam batang tubuh PAS sendiri, sedang divirusi pertentangan antara diktonomi "ulamak dan profesional". Dalam batang tubuh PAS sendiri juga wujud pertentangan kelompok konservatif (kecenderungan politik - perselingkuhan dengan UMNO) dan kelompok modenis (menyokong dan mendokong wawasan politik baru - menolak elemen bangsa dan ras). Di luar, PAS berhadapan dengan cita rasa pengundi baru (generasi baru dan muda) yang melihat masa depan PAS ditentukan oleh kekuatannya dalam kebersamaan dalam PR. Di luar juga PAS berhadapan dengan rakan-rakannya yang berlainan ideologi.

Secara jujurnya, bagi saya, sebagai aktivis politik, melihat PAS sejak PRU12 memasuki medan kesepakatan dalam PR dengan setengah hati, dan teragak-agak. Apatah lagi, Presiden telah dipersepsikan lebih sesuai sebagai "ulamak" daripada "pemimpin" politik. Presiden PAS seolah-olah hanyut dan membiarkan dirinya dihanyutkan oleh rakan-rakan akrabnya yang datang dari kelompok yang "kalah perang". Setiap kali kenyataan akhbarnya tentang isu-si semasa membuka ruang untuk dimanipulasi oleh media kroni UBN. Lihat sahaja kenyataan Presiden tentang kenyataan TGNA tetang kerjasama dengan UMNO yang telah pun dispesifikkan oleh TGNA, hanya dalam bidang Islam, sedangkan kenyataan TGHH membuka lebar ke aspek-aspek lain. Kenyataan TGHH memperlihatkan agenda "perpaduan" masih "hidup". Begitu juga kenyataan TGHH tentang sokongan ahli parlimen Australia yang senada dengan UMNO, tetapi berlainan sekali dengan kenyataan TGNA.

Akhirnya,

Saya seperti mendapat kesan bahawa dalam partinya sendiri, Khalid dicemburui, dan dimangsakan.

Pada saya, Khalid merupakan aset besar dan tidak ternilai kepada PAS. Beliau berjuang lama dalam PAS. Gagasannya digarap dengan mudah dan dapat difahami dalam sebaris ayat sahaja.

Namun, kepada Khalid,
adat berjuang,
cubaan yang datang sekuat ketokohan. Semakin kuat dan gemerlap ketokohan tu, semakin besarnya ujian dan hadangan yang akan dihenyakkan .... lebih memperkuat integritinya.

Saya yakin, buat Khalid, ini hanya ujian kecil baginya!

Simpang 4, AS.

No comments:

Post a Comment