21 December, 2009

Antara Blogger Parti dan Blogger Bebas


Salam.

Telah berlangsung satu konvesyen yang namanya, Konvensyen Blogger PAS kelmarin, yang dirasmikan sendiri oleh Tuan Presiden, TGHH. (link).

Saya akan petik dan ulas secara bebas sekiranya saya rasa perlu.

Kelab Greenboc, Pak Bakaq (Penarik Beca), Tulang Besi, dan lain-lain melahirkan kebimbangan akan adanya usaha untuk "tune-up" para blogger, khususnya yang memegang pasport PAS. Istilah yang digunakan ialah "memBTNkan" dan juga "blogger batang pisang". Menurut Presiden, oleh sebab peranan Blogger akan signifikan pada masa-masa mendatang, maka katanya Presiden para blogger PAS ini perlu ditanzimkan (diorganisasikan).

Memang sama ada ditanzimkan atau tidak, itu adalah hak parti untuk mendidik ahlinya supaya setiap tindak-tanduk blogger PAS harus serasi atau selari dengan kehendak parti. Itu hak mereka. Kita harus hormati itu.

Namun, yang menjadi kebimbangan para blogger, yang juga ahli parti atau penyokong parti atau penyokong PR ialah konvensyen ini lahir tidak secara alamiah (natural). Konvensyen ini lahir akibat daripada pendedahan para blogger soal selingkuhan pimpinan peringkat tinggi PAS dengan UMNO atau tindak-tanduk pemimpin PAS yang dilihat mampu mencederakan sesebuah kerajaan PR (dengan rujukan di Selangor), dan melahirkan suatu persepsi bahawa PAS sebuah parti yang tidak amanah (dilihat sebagai mengkhianati sokongan pengundi).

Pendedahan para blogger ini telah menggoncangkan PAS sehingga TGNA menggesa supaya diadakan satu EGM yang akhirnya dilunakkan dengan satu seminar (memperkasa PAS).

Latar yang mendorong Mursyidul Am menggesa agar satu EGM diadakan ialah selain pendedahan para blogger tentang selingkuhan atau tindakan menikam belakang di Selangor (natijahnya PAS kalah teruk di Bagan Pinang) ialah bagaimana pimpinan tertinggi PAS memberi reaksi terhadap teguran dan nasihat daripada Prof Aziz Bari.

Satu kesimpulan yang dapat saya buat ialah setiap kritikan atau pendedahan oleh blogger terhadap PAS diberi reaksi yang negatif dan dilabelkan sebagai fitnah. Ini menunjukkan pimpinan PAS gagal menyerap teguran dan nasihat dan menganggap sebagai tindakan mereka betul belaka. Kerana apa? Kerana mereka diberi title ulama dan uztaz.

Ini menunjukkan juga bahawa pimpinan PAS kini takut apabila diri mereka diletakkan di dalam cermin. Untuk menghancurkan cermin itu, isu wala' di ketengahkan - sedangkan wala' ini harus dibincangkan supaya selari dengan sejarah kenabian dan khulafak.

Kesan Blogger Ditanzimkan

a. Dari segi positifnya ialah blogger menjadi benteng pertahanan parti daripada serangan dan penyambung misi dan perjuangan parti. Namun, ada syaratnya. Syaratnya ialah tidak taksub kepada individu.

b. Negatifnya ialah para blogger yang telah "ditune-up" akan tetap menyokong segala tindakan pimpinan tanpa mengira kesannya pada perlembagaan parti, dan pada strategi semasa untuk survival parti.

c. Para blogger ini akan menjadi serba salah apabila akhirnya mereka menyedari bahawa mereka telah diperalatkan, tetapi mereka telah "ditune-up" supaya wajib wala'.

Peranan Blogger Bebas

Secara peribadi, saya berkongsi rasa yang sama dengan Pak Bakaq dan GB, bahawa yang akhirnya muncul ialah ketaksuban. Sekurang-kurangnya ada 2 insiden yang dapat kita nilaikan bersama:

a. Reaksi pimpinan PAS dan para blogger yang menganggap diri mereka ahli PAS tulen terhadap pendedahan insiden selingkuhan dan tikam belakang oleh Hassan Ali dan gengnya di Selangor.

b. Bagaimana para blogger yang mendakwa memegang pasport PAS seumur hidup terhadap isu Ariffahmi di Kelantan. Blogger ini menganggap menyerang Ariffahmi sebagai menyerang Tok Guru dan juga menjatuhkan Tok Guru dan dilabel sebagai agen musuh. Isu tidak dinilai secara adil, tanpa hujah konkrit, dan seolah-olah berlaku pendewaan. Pada saya, salah, tetap salah. Telitikan posting GB di sini

Saya lanjutkan sedikit, dalam isu Ariffahmi, Tok Guru harus memikul kekhilafannya dalam melantik menantunya, dan telah pun ditimbulkan olehanaknya, Nik Abduh. Pembantunya Nik Aziz khususnya, LA gagal melihat isu moral di sebalik kehalalan undang-undang, dan pembantu lain yang "malu alah". Dan, yang akhirnya ialah Ariffahmi sendiri. Dia sepatutnya boleh membuktikan dirinya sebagai profesional yang visionistik dan inovatif dan bersemangat di lapangan lain, bukan di PBMK. Di sini, sebenarnya lapangan penuh duri, dan anda mesti akhirnya terluka, bukan sahaja terhadap diri sendiri, tetapi membabitkan mentuanya dan PAS sendiri.

Rumusan

Akhirnya, usah mengeluh Pak Bakaq dan GB, peranan kita ialah sebagai "watchdog" dan dari sinilah akan munculnya "check and balance".

Saya berharap, konvensyen ini akan bergerak atas landasan Islam, bukan institusi atau individu. Jauh daripada itu, saya mendoakan para blogger PAS yang telah dikonvensyenkan itu dijauhkan daripada sifat ketaksuban, dan mampu meletakkan Islam atas segala-galanya.

Kamal Lodge, Taiping, 1045am

No comments:

Post a Comment