26 December, 2009

Masih Lagi Tentang Calon Luar ...

Salam.

Saya agak tertarik dengan dua isu hari ini. Komen seorang blogger tentang calon luar, dan keduanya, sms demo UMNO mendesak PAS Selangor keluar Pakatan. Isu kedua akan saya ulas pada posting seterusnya.

Beberapa hari lepas (boleh rujuk posting saya yang dulu), TGNA sedia mempertimbangkan untuk meletakkan semua calon anak Kelantan untuk parlimen pada masa mendatang. Salahuddin Ayub mengulas singkat tentang isu ini. Kata Salahuddin, beliau bertanding di Kelantan kerana arahan PAS Pusat dan dia bersedia sekiranya berlaku di sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Blogger Jiwo kelate, dalam mengulas isu ini menggambarkan yang ucapan atau kata-kata salahuddin ini sebagai kata-kata seorang yang berkecil hati. Untuk bacaan lanjut, klik.

Dalam posting yang lalu, saya cuba memberi latar belakang atau yang tersirat mengapa TGNA berkata demikian. Klu utama yang perlu kita fahami ialah ""Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

TGNA menggunakan kata "jika" dan "orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan". Ayat ini menggandungi tafsiran yang pelbagai. Saya pasti TGNA mengeluarkan ucapan ini berdasarkan perkembangan semasa. Sebenarnya telah lama PAS Kelantan berkorban, sila baca artikel Subki Latif untuk mendapatkan latar sejarahnya.

Apa sebenarnya isu semasa itu? Saya berpendirian isu semasa itu pastilah isu yang serius. Isu yang mampu membuatkan Pakatan Rakyat terburai, dan bukan sahaja kesannya pada PR tetapi PAS secara keseluruhannya. Isu yang jelas: pemimpin utama PAS berselingkuh dengan UMNO dan isu UG. Dan jika bertanya lagi siapa yang terlibat, kita semua telah pun maklum. Antara pemimpin yang didakwa begitu berkeinginan untuk tidur sekatil dengan UMNO ialah Timbalan Presiden PAS sendiri - Ustaz Nasha yang mewakili Parlimen Bachok.

Maksud yang jelas ialah TGNA secara tersirat mahu calon-calon luar membantu atau hanya memperjuangkan agenda PAS semata-mata, bukan hal lain yang boleh kita tafsirkan sebagai tindakan sabotaj.

Jadi, pada saya, YB Dr Hatta dan Salahuddin tidak perlu berkecil hati dengan kata-kata atau hasrat TGNA itu. Bukankah Salahuddin yang turun sendiri ke Kelantan ketika TGNA sedang "berapi" dengan isu EGM dan Salahuddin juga turun ke Kelanatan berjumpa sendiri dengan TGNA dalam kes Ariffahmi dan PBMK. Ini menunjukkan TGNA memandang tinggi kepada Salahuddin. Mengapa? Kerana salahuddin merupakan sosok pemimpin yang tahu menghormati jawatan, pengalaman politik, dan usia tokoh yang lain. Saya agak yakin tentang ini kerana sebaik selepas Salahuddin berjumpa dengan TGNA tentang isu EGM, Salahuddin mengumumkan dalam media bahawa TGNA bersetuju menggantikan EGM dengan seminar. Ini menunjukkan kerapatan dan kemesraan antara kedua-duanya. Tentang Dr Hatta pula merupakan pendokong gagasan PR yang tegar, sedangkan tulang belakang PR ialah TGNA sendiri.

Jadi, saya boleh merumuskan bahawa TGNA memberi amaran tetapi dengan melalui ucapan berlapik supaya sesiapa calon luar Kelantan apabila bertanding di Kelantan mestilah sanggup walau dengan apa cara pun berjuang semata-mata untuk PAS sebagai membalas jasa PAS Kelantan mengorbankan anak Kelantan sendiri.

Sebenarnya, hasrat atau kata TGNA itu salah satu cara atau usaha memperkuat PR yang baru sahaja selesai untuk bersetia dengan PKR dan DAP untuk merealisasikan visi dan misi PR iaitu "Ketuanan Rakyat".

Simpang 4, AS 11.15pm

No comments:

Post a Comment