31 December, 2009

Pengimejan Semula PAS Kelantan: Suatu Nasihat


Salam.

Biarlah kita berterus terang dan berbaik sangka semoga hubungan sesama jamaah tetap utuh. Di bawah adalah teguran-teguran yang berniat baik dan lebih berupa nasihat.

Kepada Nik Abduh, dokonglah ayahanda saudara dengan sebaiknya. Ayahanda saudara sebenarnya milik masyarakat. Kebolehan dalam menulis yang dianugerahi itu dan berblog, gunakanlah untuk memelihara PAS dan air muka ayahanda. Sebagai manusia dan sebagai individu sudah barang tentu pendirian, tanggapan, telahan akan berbeza. Dan sebagai individu, kita berhak untuk rasa marah dan kecewa tatkala rasa dan pemikiran kita yang kita rasakan betul kerana telah benar-benar dimatangkan kaang-kadang tidak diterima.

Namun, dalam politik, tingkah laku kita harus berbeza. Kita perlu pandai menyembunyikan emosi kita atau mengurus emosi kita. Dalam politik kita perlu sentiasa dilihat bersih, tenang, dan tidak cepat melatah. Dan kata-kata kita perlu disusun secermat mungkin walaupun kita sebenarnya dalam emosi marah dan kecewa.

Saudara Nik Abduh memang seorang individu yang punyai kejatian yang tersendiri, tetapi kemandiriannya tidak menghapus bahawa dirinya tetap berbinkan Nik Aziz. Beliau tetap dikenal sebagai anak Nik Aziz.

Dan siapa Nik Aziz itu?

Inilah yang harus disedari benar-benar oleh Nik Abduh. Tidak salah kalau saya simpulkan atau letakkan TGNA, bapa Nik Abduh adalah ikon PAS. Ketua eksekutif kerajaan Kelantan dan bertitle Tok Guru.

Tidak salah berblog kerana itu adalah hak individu, tetapi harus dipisahkan atau dibezakan. Ini kerana kata-kata Nik Abduh melalui blog merupakan kata-kata anak Nik Aziz, bukan Nik Abduh secara individu. Pada tafsiran umum, setiap kata-kata Nik Abduh dalam blognya secara langsung atau tidak langsung akan pasti memberi kesan kepada ayahandanya.

Apabila misalnya Nik Abduh menyuarakan dalam blognya ketidakpuashatiannya terhadap PAS Kelantan atau mengkritik salah seorang Adun atau exco Kelantan maknanya masyarakat akan mendapat mesej bahawa wujud campur tangan anak (Nik Abduh) dalam urusan kerajaan dan parti atau wujud pertentangan atau konflik secara halus antara bapa dan anak.

Kalau tulisan berupa teguran itu dikarang secara harus halus dan berlapik, walaupun impak "damage" agak kurang. namun masyarakat pembaca kini dapat mengesannya. Apatah lagi tulisan bernada agak kasar dan agak celupar.

Saudara sewajibnya mengelak daripada menulis yang memberi mesej yang salah atau negatif kepada khalayak. Imej bapanya akan tercalar.

Saudara Nik Abduh, kalau ingin menulis, oleh sebab beliau merupakan anak Nik Aziz, seharusnya yang mampu memperkukuh imej bapanya atau memperkukuh agenda, ideologi, misi, dan contoh-contoh tindakan ayahandanya yang baik serta disandarkan kepada sirah atau nask. Dalam konteks terkini, TGNA merupakan tunjang PR dan ikon PR. Tunjang dan ikon inilah yang harus digarap. Sekiranya timbul polemik dalam hal ini, polemik itu adalah polemik membina.

Satu Contoh

Dalam isu terbaru tentang adik iparnya, Ariffahmi, tulisan atau luahannya tidak mampu menjernihkan suasana malah kesan "damage" kepada ayahandanya agak besar, selain itu memberi gambaran wujud "family kitchen" dalam karier politik bapanya.

"Apabila saya diberitahu bahawa ayahanda akan segera melantik Ariffahmi ke jawatan CEO, saya bersegera mengintai masa ayahanda untuk bersendirian bersamanya seketika untuk memberi pandangan yang agak kontra. Dalam setengah jam perbincangan, saya tunjukkan kepadanya sebab dan keresahan saya terhadap kemungkinan yang akan menimpa Ariffahmi. Saya memberitahunya mengenai sikap kawan dan lawan yang tidak menyetujui keputusan tersebut. Tujuan saya agar ayahanda berfikir semula atau lebih bersedia menghadapi kemungkinan yang saya resahi akibatnya".

"Tetapi ayahanda telah menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap pendiriannya dan Ariffahmi sendiri. Beliau menjawab dengan penuh yakin segala persoalan saya. Apabila saya mendapati ayahanda tidak akan berganjak lagi, saya titipkan untuknya beberapa pesanan yang paling berguna daripada saya agar disampaikan kepada Ariffahmi". Baca di sini.

Dua petikan panjang yang saya nukilkan di atas, memang bertujuan baik, tetapi sebenarnya mendedahkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam isu pelantikan Ariffahmi sebagai COO dan CEO PBMK. Petikan ini menyasarkan kepada ayahandanya dan Ariffahmi sendiri.

Tentang tuduhan dan dakwaan, posting ini agak kasar,

"Beliau bukan peneguk arak, tetapi serangannya seperti peneguk arak yang bersahaja dalam kemabukan. Menaruh madu di dalam racun dan menitik zam – zam di gelas arak." Perumpamaan yang indah ini ditujukan kepada saudara Kickdefella, kenapa arak yang dipilih!

"Saya tahu mereka tidak menyetujui perlantikan Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda. Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan."
Quote ini pula menyindir penasihat ayahandanya yang didakwanya "opurchunis".

Tentang bahasa yang agak kasar, "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh!”

Kepada Puan Nik Amalina
Baguslah kerana puan telah pun bergelar blogger.

Namun kedudukan puan dalam keluarga Nik Aziz memudahkan timbul prejudis dalam kalangan pembaca dan penaganalisis politik dan blogger lain.

Puan bukan saja anak perempuan TGNA tetapi suami kepada Ariffahmi yang menjadi isu dan "central isyue".

Nasihat saya sama seperti nasihat saya kepada saudara Nik Abduh.

Apa yang boleh saya katakan ialah puan puas dan lega, segala yang terbeban dan menghenyak jiwa sebahagiannya telah terlerai. Namun, adakah luahan itu membantu menjernihkan suasana?

Kalau puan meneliti balik posting atau luahan puan tentang isu suami puan, baca balik secara jujur, dan bukan sebagai anak Nik Aziz dan bukan suami Ariffahmi, saya pasti, luahan itu itu penuh emosi, dan tuduhan sehingga menjalar ke isu personal orang lain.

Natijahnya, puan pula yang menjadi sasaran kritikan.

Kepada Ariffahmi

Apabila saudara mengambil keputusan untuk bersetuju atau akur dengan kehendak mentua, saudara sebenarnya telah bermain dengan api yang menunggu masa dan ketika untuk marak. Dan, sesungguhnya, saudara telah berssedia untuk berkorban dan dikorbankan.

Saudara tidak boleh lagi bersandar kepada mentua saudara. Sgalanya saudara yang perlu tanggung sendiri.

Walaupun anda telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan, namun anda masih sebagai CEO PBMK sehingga Mac 2010. Tempoh itu agak lama, dan mengundang persepsi negatif dan persoalan kepada umum.

Tugas mentua saudara sebagai MB dan Pengerusi PBMK telah selesai. Terpulang kepada saudara untuk berkorban pula.

Isu seputar kronisme masih lagi berlegar kerana anda masih berada di PBMK, dan selagi anda berada di sana, imej mentua saudara terus dicalarkan.

Saudara sekarang terpaksa membuat pilihan. Agenda parti tidak mengenal individu. Selagi indiividu itu membawa untung kepada parti, individu itu akan parti pertahankan. Jika individu itu, membawa beban kepada parti, bila-bila masa sahaja parti akan meninggalkannya.

Tinggal lagi, soal bagaimana anda bertindak agar parti menghormati saudara, dan maruah saudara terpelihara, dan dikenang sebagai pejuang sebenar. Pejuang sebenar, sanggup mengorbankan diri untuk organisasi demi menanjak cita-cita parti yang lebih besar.

Inilah hakikat politik dan sepak terajang politik.

Bertindaklah sekarang! Jangan nanti sampai parti bersuara kali kedua. Dan saya rasa, Pas Kelantan telah pun menyampaikan mesej! Yang menghalang PAS Kelantan kini ialah rasa hormat kepada TGNA.

Akhirnya, peliharalah sebaik-baiknya maruah dan imej ayahanda sekalian, yang sesungguhnya ikon PAS, ikon negara, dan agama.

Maafkan saya sekiranya teguran dan nasihat ini begitu celupar dan menyakitkan hati. Saya menyampaikan apa yang terbuku di hati saya sebagai aktivis politik yang mahu melihat PAS menjadi tunjang kukuh Pakatan Rakyat yang menjadi impian mentua saudara, Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat.

Sekian. Wassalam.

Ruzis, Kelate negeghi ambo!.
Simpang 4, AS

1 comment:

  1. sudah terlambat ... PAS tetap akan tumbang di kelantan


    nik abduh pernah masuk ISA kena brainwash dgn umno? mungkinnik abduh ejen umno?

    husam anak ulamak umno...mungkinhusam ejen umno?

    ReplyDelete