Benarkah lanskap "psyche" Melayu telah berubah? Marilah sederap bersama membina masyarakat Malaysia yang adil, telus, dan berjati diri tanpa melupakan hakikat sejarah kenegaraan kita.
29 December, 2009
Demi Islam dan Masyarakat, Biarlah Kita Tidak Sependapat
Salam.
Sejak tercertusnya isu perselingkuhan beberapa kerat pemimpin tertinggi PAS dengan UMNO dan peristiwa-peristiwa selepasnya yang begitu menggusarkan simpatisan Agenda Politik Baru (APB), satu perkara yang membuatkan saya tidak boleh lena tidur ialah:
"Apakah tindakan mengkritik atau membongkar perbuatan-perbuatan atau seumpamanya yang diambil oleh mana-mana pemimpin PR merupakan tindakan yang SALAH dan mengkhianati parti dan jamaah?"
Pimpinan PAS sedang menyusun langkah untuk mengorganisasikan para blogger PAS, dan terkini mengawal "press statement" oleh pemimpin-pemimpinnya. Rujuk di sini dan sini.
Kali ini, saya akan mengulas dari segi aspek negatifnya. Aspek positifnya saya telah ulas pada posting saya yang lalu.
Dr Ali Shariati dan Perubahan
Sebelum itu, saya teringat bacaan saya tentang satu buku yang dikarang oleh pemikir Iran Dr Ali Shariati. Sayangnya bukunya yang dalam bahasa Indonesia telah hilang dalam milik saya akibat berpindah-randah. Saya cukup sayang buku ini.
Saya sayang buku ini selain bahasanya yang cukup mudah difahami, tetapi yang utamanya ialah karangan Dr Ali ini memberi latar belakang bagaimana boleh terhasilnya sebuah revolusi dalam sejarah moden manusia, iaitu Revolusi Iran.
Saya masih teringat akan maksud atau inti sari salah bab buku ini ialah untuk membolehkan berlaku satu-satu perubahan, terlebih dahulu mestilah lahiraktivis atau pemikir yang kehidupan dan pemikirannya bertentangan dengan aliran semasa. Aktivis ini mengabdikan diri untuk menyebarkan pemikirannya dalam latar belakang pemerintahan atau ideologi yang bertentangan dan memiliki kuasa yang luas dalam kerajaan semasa. Kerap kali aktiivis atau pemikir ini yang beberapa kerat dikorbankan atau dimangsakan atau dirobek kehidupannya.
Ini fasa pertama yang nantinya akan memomentumkan perubahan.
Dengan kematian ideolog ini, idea dan pemikirannya mula menyebar secara senyap serta mula lahir pelapis kedua yang mengolah dan menghadam idea ini untuk disampaikan kepada khalayak. Ini fasa kedua.
Fasa ketiga, idea dan pemikiran ideolog tadi telah menyerap ke akar umbi. Dan ketika ini lahirlah pemimpin, pemimpin pertengahan (kelas menengah) yang selalunya berfungsi sebagai kader, dan akar umbi dapat menyerap segala idea dan menterjemah idea dalam bentuk praktis dan diintitusikan. Maka ketika ini gerakan ini telah berubah menjadi gerakan massa.
Kalau kita teliti pada fasa pertama dan kedua, untuk berlaku satu-satu perubahan mesti lahirnya individu-individu yang sanggup mempertahan pendapat dan pemikirannya walau pun hidup mereka terseksa atau dihina atau dilabelkan dengan unsur-unsur yang negatif
APB dan KR
Bagaimana keadaan terkini dengan APB? Adakah APB ini telah benar-benar mantap dan didukung oleh segenap pemimpin?
Pada saya, APB walaupun telah lama diperjuangkan sejak sebelum merdeka lagi, sejak lahirnya Kaum Muda, Golongan Kiri, da selepas merdeka cuba dibawa oleh tokoh-tokoh Melayu-Islam seperti Dr Burhanuddin, namun proses penyebatiannya ke akar umbi secara keseluruhannya baru bermula iaitu selepas PRU12. Proses awalnya bermula dengan era reformasi iaitu dicetuskan oleh Anwar selepas beliau tidak sehaluan dengan pemerintahan semasa sehingga beliau diaibkan dan dipenjarakan.
Agenda reformasi ini terencat kerana pelopornya berada dalam penjara. Selepas beliau dibebaskan sebelum berlakunya PRU12, agenda reformasi ini mula berubah bentuk dan mula menyerap ke akar umbi dengan lahirnya permuafakatan politik (PR) dengan moto "Ketuanan Rakyat(KR)".
Agenda APB dan KR ini masih rapuh kerana agenda ini mula kelihatan merakyat pada PRU12.
Saya katakan masih rapuh kerana:
a) Pendukungnya PAS, PKR, DAP merupakan 3 entiti yang berbeza ideologi.
b) Matlamat awalnya hanya satu: menjatuhkan UMNO dan BN.
c) Tidak semua pemimpin dalam ketiga-tiga entiti itu menyerap seutuhnya agenda APB dan KR. Hal ini kerana:
i) Acuan atau kerangka pemikiran dan tindak-tanduk politik ketiga-tiga entiti itu masih didukung oleh pemimpin-pemimpin daripada ideologi lama iaitu bertindak dalam kerangka perbezaan kaum dan agama. Ini saya namakan perangkap ideologi bawah sedar.
ii) DAP dengan unsur kecinaannya dan perjuangan berasaskan kesamarataan. PAS dengan Islamnya tetapi lebih kepada Melayu-Islam. PKR pula masih banyak didukung oleh generasi UMNO yang tegar. Kerangka pemikiran dan tindakan mereka ini (PKR) masih terperangkap dalam ruang sempit perkauman, selain kecintaan yang tebal kepada kuasa dan harta.
iii) Natijahnya ialah tidak menghairankan sekiranya masih berlaku sebahagian pemimpin PAS dan ahlinya yang masing cenderung untuk berkongsi kuasa dengan UMNO atas dasar keMelayuan dan ketuanan Melayu, bukan ketuanan Islam. Tidak menghairankan jika masih ada pemimpin-peimpin PKR yang boleh dibeli oleh UMNO kerana mereka sebenarnya UMNO. Inilah yang membelenggu bawah sedar Ezam Md Noor sehingga mendorong beliau menjilat semula UMNO.
Jadi dalam keadaan yang rapuh ini, segala kemungkinan boleh berlaku. Kalau kita meneliti secara mendalam sokongan rakyat kepada agenda APB dan KR khususnya dalam kalangan generasi baru begitu meluas, namun sokongan ini tidak genuine kerana penolakan kepada UMNO dan BN lebih kepada kebencian bukan kerana keyakinan akan keampuhan PR. Kemarahan rakyat terhadap UMNO dan BN begitu meluap-luap dan tidak tertahan lagi.
PR belum lagi menguasai Putrajaya cuma menguasai beberapa kerajaan negeri. Sokongan yang original daripada akar umbi hanya akan terhasil apabila kerajaan-kerajaan negeri PR dapat membuktikan mereka benar-benar mampu mentadbir, polisi yang merakyat, dan mengutamakan kebajikan rakyat, serta meminimumkan politiking semasa sendiri. Yang harus diutamakan ialah perkhidmat kepada rakyat dan polisi yang mesra rakyat.
Jadi, dalam keadaan yang cukup kritikal ini, kesepakatan, permuafakatan antara ketiga-tiga entiti itu benar-benar padu dan seolah-olah menjadi satu parti. Ketiga-tiga entiti itu perlu sedaya mungkin mengurangkan perbezaan dan mencari sebnyak mungkin persamaan.
Peranan Pengkritik
Dalam keadaan yang kritikal ini, siapakah yang akan menjadi "watchdog" atau pihak-pihak yang bertindak mewujudkan keadaan "check and balance" jika berlaku atau tercetus tindakan-tindakan yang mampu menjejaskan keutuhan PR dan membantutkan agenda APB dan KR?
Maka di sini saya mengharapkan pemimpin atau kerajaan negeri PR sanggup menjunjung semagat demokrasi tulen, profesional, dan berlapang dada dalam menangani kritikan, pendedahan atau pembongkaran.
Memang, selama ini, Malaysia di bawah UMNO begitu mengawal ketat demokrasi dan memmmpopularkan domokrasi ala UMNO dan BN yang kerap kali menggunakan kuasa dan undang-undang, maka masih wujud pemimpin PR yang berasa kebal atau enggan menerima kritikan secara profesional - merajakan ego dan menganggap segala tindak-tanduk mereka betul.
Atas dasar ini, perlu wujud golongan pengkritik atau pendesak untuk mempastikan agenda APB dan KR tidak diganggu-gugat. Peranan ini wajib dimainkan walaupun mereka ini dicop atau dilabel sebagai pengkhianat atau pemfitnah.
Simpang 4, AS 3.00am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Apa yang berlaku sekarang ini adalah kehendak Allah.Manusia hanya merancang,menilai, membuat analisa dan pesepsi mengikut pandangan akal yang kerdil .Namun Allah Taala yang menentukan kerana Dialah berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.Kita manusia berdoa kepada Allah ,tawakal,sabar dan beriman bahawa apa yang terjadi adalah ujian kita di atas muka bumi ini.
ReplyDelete