02 December, 2009

Isu PBMK: TGHH benar, Siapa yang Salah?




Salam untuk pengunjung.

Isu Ariffahmi dan PBMK sehingga kepada isu mendesak Tok Guru Nik Aziz meletakkan jawatan menjadi panas apabila Sheih Kickdefella dipecat serta merta daripada jawatan Pengarah Perhubungan Korporat PBMK setelah SPRM bergerak masuk ke PBMK.

Ekoran pemecatannya, beliau (Sheih Kickdefella) mendedahkan beberapa perkara yang berkait dengan salah urus PBMK. Soal benar atau tidak, kita tunggulah kertas siasatan disempurnakan oleh SPRM.

Isunya ialah Ariffahmi ialah menantu Tok Guru dan Tok Guru sendiri sekali gus sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PBMK.

Isu menjadi panas - lalu Tok Guru dengan bantuan nasihat daripada geng Tuan Presiden yang turun ke Kota Bharu menasihatkan Ariffahmi meletakkan jawatan, dan dipersetujui oleh Ariffahmi.

Kewajaran Ariffahmi Dilantik sebagai COO dan CEO PBMK

Pada saya jelas, walau apa hujahnya, Ariffahmi sewajibnya menolak pelantikan ini walaupun dirayu atau dipujuk. Kerana, ini akan menimbulkan banyak konflik kepentingan.

Soalnya mengapa Ariffahmi bersetuju?

Menurut Nik Abduh, beliau sendiri pun membantah (link). Namun, sikap ini bertentangan dengan sikap dan penerimaan Nik Amalina (link), isteri Arifffahmi dan Ariffahmi sendiri.

Sepatutnya, Nik Abduh bersifat tekal dan meminta agar adiknya dan adik iparnya menolak pelantikan ini. Namun yang berlaku di sebaliknya, akur dengan kehendak ayahandanya dengan nasihat tertentu, sedangkan tindakan penerimaan itu telah membuka ruang firnah yang cukup luas.
Tindakan yang betul ialah memberikan sokongan sewajarnya supaya Ariffahmi membuka syarikat sendiri yang bebas daripada ikatan kerajaan Kelantan. Menurut isterinya, Ariffahmi seorang yang berkaliber dan berwawasan. PBMK bukan tempat Ariffahmi.

Begitu juga dengan barisan Exco Kelantan dan PAS Kelantan, seharusnya mereka tegas dan menolak sama sekali.

Maka, saya simpulkan ini sebenarnya KEGAGALAN ahli keluarga Tok Guru, KEGAGALAN barisan Exco Kelantan dan KEGAGALAN PAS Kelantan dalam membendung niat ikhlas Tok Guru Nik Aziz.

Dengan peletakan jawatan Ariffahmi ini, sebenarnya, reputasi Tok Guru dan PAS Kelantan pulih semula. Isu ini memang pedih bagi Tok Guru, tetapi sebenarnya dapat membersih semula imejnya.

Kerana itu, saya dapat menerima pandangan TGHH dalam kenyataan beliau bahawa "apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru" (link).

Siapa yang dimaksudkan itu, tidak perlulah saya mencarinya, orang-orang berkenaan, telah pun dihantui rasa bersalah dalam senyap. Hanya kemujuran berlaku, Tok Guru telah bersikap profesional, dan tidak menuding jari kepada sesiapa.

Secara tersirat sanggup menerima pertanggungjawaban eksekutif - walau anak buah yang khilaf dalam nasihat, tetapi kerana beliau yang mengambil keputusannya, maka sebagai sebagai seorang ketua, beliau wajib bertanggungjawab. Ini satu sikap terpuji!
Simpang 4, AS 3.00pm

No comments:

Post a Comment