27 December, 2009

Apakah PAS Kelantan Dirombak 2010 dan Terlibatkah Anual Bakri?

Salam.

Dua hal yang menarik hari ini. Malaysia Insider melaporkan akan ada rombakan dalam PAS Kelantan pada tahun 2010, dan kedua, demo 21 orang yang mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat Selangor.

Saya sendiri kurang pasti, dari mana Malaysia Insider memperoleh maklumat tentang rombakan yang akan berlaku tersebut. Malaysia Insider juga menyebut Setpol TGNA akan dipecat. Baca di sini dan sini.

Tidak silap saya, Anual Bakri menjadi Setpol TGNA melebihi 10 tahun. Beliau merupakan Setpol TGNA yang paling lama berkhidmat dengan TGNA.

Saya juga kurang pasti, timbul cakap-cakap di sekitar Anual Bakri ini. Beliau dikatakan begitu mengawal ketat TGNA dalam hal urusan rasmi. Dikhabarkan bahawa tidak mudah untuk menemui TGNA, perlu menembusi dahalu Setpolnya.

Isu-isu penampilan Anual Bakri juga disebut-sebut. Anual Bakri sebelum menjadi Setpol sebenarnya seorang profesional dalam bidang kewangan. Penampilannya tidak dibalut pakaian ala Arab. Beliau lebih kelihatan santai dan sederhana. Rambutnya agak panjang dan sering berselepang. Penampilannya lebih kepada seorang penyair, dan memang pun beliau berbakat dalam bidang ini.

Yang tidak seronoknya ialah Anual Bakri ini dikatakan amat rapat dengan Husam. Saya sendiri pun agak hairan, setiap kejadian yang berlaku di Kelantan khususnya tentang PAS Kelantan sama ada pada peringkat parti atau kerajaan, fokus dengan sendirinya akan cuba dikaitkan dengan Husam.

Memang akhir-akhir ini PAS dirundung nasib yang agak malang daripada isu pertemuan dengan UMNO dalam gelap sebaik usainya PRU12. Kemudiannya PAS diasak dengan isu UG. Seterusnya, rampasan kuasa UMNO di Perak yang MBnya ialah daripada PAS.

Seterusnya PAS Selangor dilanda masalah sehingga berlangsungnya Seminar Memperkasa PAS dan bersidangnya Jawatankuasa Disiplin untuk membicarakan Dr Hassan Ali dan Khalid Samad.

Penyakit PAS Selangor itu telah pun menjangkiti PAS Kelantan pula. Integriti TGNA sebagai MB dan kaitan keluarganya dengan kuasa dan jawatan di Kelantan. Dengan meletusnya isu Ariffahmi dan PBMK, sehingga Ariffahmi terpaksa meletakkan jawatannya di PBMK, nama Husam sering dikaitkan. Anak-anak TGNA seperti Nik Abduh dan Nik Amalina menimbulkan bahawa wujud dalang dalam isu Ariffahmi, dan lebih jauh sebelum itu, Nik Abduh menuduh penasihat-penasihat ayahandanya selalu memberi nasihat yang salah.

Siapa dia agaknya pembantu TGNA itu? Tentulah Husam dan Setpolnya.

Biarlah kita berlapang dada. Kalaulah benar seperti yang dilaporkan, tentulah TGNA mempunyai perkiraan-perkiraan tertentu dalam sifir politiknya. Saya yakin bahawa TGNA tidak akan mempersiakan Setpolnya memandangkan tempoh yang lama mereka bersama. Tentulah masing-masing kenal baik hati budi masing-masing.

Secara tersirat, saya berasakan akan berlaku juga rombakan sama ada dalam komposisi atau personal dalam kerajaan negeri atau pun dalam barisan PAS Kelantan. Isu-isu terkini yang melanda PAS Kelantan sama ada dalam pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan harus dinilai secara definitif.

Penilaian yang definitif PAS Kelantan harus dibuat memandangkan PRU13 paling lama pun 3 tahun lagi. Tanda-tanda bahawa PAS Kelantan mula diserang mula kelihatan. Hal ini akan saya ulas nanti.

No comments:

Post a Comment