02 March, 2012

Menanti Melerai Kekusutan Pas Kedah

Salam. Phahrolrazi, merangkap exco dan TPJ1 dan Dr Ismail Salleh yang juga exco dan TPJ2 Pas Kedah telah berjaya menyampai mesej kepada Pas Pusat. Mesejnya jelas ada berlaku sesuatu yang tidak kena dalam kerajaan negeri dan parti.

Mengambil kira sebelum ini permasalahan yang sama telah pun dimaklumkan dan kelihatannya tiada jalan keluar yang tuntas maka pada hemat saya, Phahrolrazi dan Dr Ismail sanggup menempuh risiko cukup tinggi terhadap kedudukannya dalam kerajaan dan parti. Ini termasuk persepsi akar umbi dan masyarakat umum. Sekarang pun telah berlegar di arus bawah dan komuniti media baru bahawa kedua-duanya adalah proksi Anwarinas baik dalam Pas dan Pkr. Dalam Pas geng Anwarinas digelar parasit (istilah Hassan Ali).

Hemat saya, jalan keluar kemelut ini tidak mudah kerana menyangkut MB yang juga Pesuruhjaya Negeri. Kedudukan PSJ agak istimewa kerana mempunyai kuasa yang luas dalam parti dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Presiden dan orang-orangnya. Kedua-dua personaliti ini juga pemimpin-pemimpin kanan dalam Pas negeri.

Masing-masing mempunyai sebab-sebab yang kukuh kenapa mereka bertindak demikian, dan pastinya mereka telah memperhitungkan segala risikonya. Apatah lagi, penyokong di belakang kedua-dua personaliti ini merupakan sayap penting Pas Kedah. Yang tak pasti pendiriannya ialah Pemuda Pas Kedah, adalah pemuda ini bersikap berkecuali atau memihak.

Jika isunya hanya sengketa peribadi dan tidak melibatkan dasar dan hala tuju kerajaan dan parti, masalah dapat diselesaikan dengan mudah. Ini kerana akar umbi akhirnya akan menilai apabila menyeret parti dalam soal sengketa individu, akhirnya individu akan ditolak oleh akar umbi. Yang diperlukan di sini ialah meletakkan orang ini di luar kerajaan walaupun dikekalkan dalam parti.

Namun jika isu ini melibatkan dasar dan hala tuju kerajaaan dan melibatkan jentera parti, menuntut kebijaksanaan dan ketegasan pihak pusat untuk bertindak, hatta jika melibatkan MB sekali pun. Hal ini kerana apa juga penyelesaiannya akan mendatangkan kesan secara terus dalam PRU13. Maksud saya menentukan sama ada Kedah kekal di bawah PR atau kehilangannya dalam keadaan negeri-negeri lain mengalami peningkatan kerusi PR atau jatuhnya negeri lain ke PR, dengan izin Allah.

Penyelesaian kemelut ini sesungguhnaya menjadi penanda aras kepada Pas Pusat sama ada mereka layak dianggap sesuatu organisasi politik ditadbir urus secara profesional atau terperangkap dalam stigma pengurusan parti yang mementingakan hubungan personal daripada tadbir urus beretika.

Jawatankuasa Pas Pusat harus melihat isu dasar dalam hubungan dengan masa depan kerajaan negeri, masa depan Pas Kedah, sekali gus masa depan Pas Pusat dan kredibiliti dalam PR berbanding Dap dan Pkr. Bertindaklah secara tegas, berprinsip dan profesional, dan berhemah.

Selebihnya semuanya bergantung kepada keikhlasan ketiga-tiga personal ini dalam merungkai kemelut ini. Matlamat parti, matlamat kerajaan dan harapan rakyat yang memberi mandat wajib diutamakan. Keangkuhan hanya mengaburi matlamat sebenar. Tiada salahnya mengakui kesilapan jika benar-benar khilaf, kerana kita bukan maksum. Rakyat Kedah mengharapkan janji-janji yang dilontarkan dalam PRU12 dikotakan dan dihayati.

Wassalam.

2 comments:

  1. Apa kata buat masa sekarang lantik dulu Mahfuz jadi PSJ kedah,sekurang2nya kerja parti dapat berjalan dengan lancar.

    ReplyDelete
  2. saya setuju 100%, kita tunggu mlm ni apa keputusannya, mudah2an akan ada jln keluar yg jernih kpd parti yg kita sayangi.

    ReplyDelete